Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

RUU antilompat tidak dibentangkan pada sidang DUN Pahang minggu depan

Sidang DUN Pahang yang dijadualkan bermula Isnin ini tidak akan membentangkan rang undang-undang (RUU) antilompat parti. 

Keputusan itu dibuat selepas pembangkang di negeri itu masih memerlukan masa untuk meneliti peruntukan yang terdapat dalam RUU berkenaan. 

Perkara itu dimaklumkan menteri besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail ketika ditemui media selepas majlis sambutan Aidilfitri badan perhubungan Umno Pahang di Lipis, semalam. 

"Mengenai akta lompat parti, selepas berbincang, saya minta speaker DUN supaya berbincang dengan pihak pembangkang, mereka (pembangkang) telah meminta kepada kerajaan negeri supaya ditangguhkan buat sementara waktu untuk dibentangkan. 

"Jadi kita terimalah pandangan mereka untuk diteliti," katanya. 

Sidang DUN Pahang dijadualkan bermula 8 Mei ini. 

Ketika ditanya sama ada pembangkang memberikan alasan untuk menangguhkan pembentangan RUU itu, Wan Rosdy berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada speaker DUN dan kerajaan Pahang tidak ada masalah dengan permintaan berkenaan. 

"Mungkin mereka (pembangkang) akan bagi cadangan dan kita pula kalau cadangan itu baik, kita tidak ada masalah untuk buat perubahan atau pindaan," katanya lagi. 

Wan Rosdy bagaimanapun tidak pasti bila RUU itu dapat dibawa ke sidang DUN Pahang dan memberitahu ia hanya boleh dibentangkan selepas kedua pihak bersetuju. 

"Bila pihak pembangkang sudah mengemukakan cadangan mereka dan setelah kerajaan meneliti cadangan itu bersama, kita akan bentangkan," katanya. 

Ketika sesi taklimat berkaitan RUU itu pada 12 April lalu, Ketua Pembangkang DUN Pahang, Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan supaya RUU antilompat parti untuk negeri itu tidak dibentangkan secara tergesa-gesa.

Sebaliknya dia yang merupakan Adun Cheka berkata masih ada perkara yang perlu diperhalusi agar tidak timbul masalah di masa akan datang.

"Taklimat yang diberikan hari ini perlu diperhalusi satu persatu (walaupun) secara umumnya tidak ada beza dengan RUU (antilompat parti) di negeri lain.

"Cuma di Pahang kita ada Adun lantikan lima orang dan dia ada kuasa mengundi dalam dewan sebagaimana Adun yang dipilih (melalui pilihan raya).

"Jadi di situ kita lihat ada keperluan untuk perhalusi (RUU)," katanya. 

Timbalan Presiden PAS itu juga memberi jaminan semua Adun pembangkang di Pahang akan menyokong RUU itu selepas ia diperhalusi, terutama berkaitan Adun lantikan.

"Sebab dia ada implikasi dari segi undang-undang, contohnya katakanlah kita lantik seorang Adun lantikan daripada NGO, tiba-tiba lepas dilantik dia menyertai parti yang NGO-nya tak setuju.

"RUU belum ada terangkan hal itu, jadi kita perlu jelas dengan perkara tersebut," katanya lagi.

Katanya lagi, lebih baik jika RUU itu dilengkapkan dan diperkemaskan terlebih dahulu sebelum dibentangkan.

Setakat ini hanya tujuh negeri yang telah meluluskan undang-undang antilompat parti.

Pulau Pinang adalah negeri paling awal memperkenalkan RUU itu dan diluluskan sidang DUN pada Nov 2012.

Negeri lain yang telah meluluskan pindaan bagi mengekang tindakan Adun melompat parti ialah Sarawak, Perak, Kedah, Selangor, Perlis dan Kelantan.

Kerajaan Terengganu pada Nov tahun lalu pula memaklumkan tidak ada keperluan untuk RUU itu diperkenalkan di negeri terbabit kerana hanya ada wakil rakyat PAS dan Umno di negeri itu.

Di peringkat persekutuan pula, RUU antilompat parti diluluskan Dewan Rakyat pada 28 Julai 2022 sebelum dibentangkan dan diluluskan di Dewan Negara pada 9 Ogos 2022.