Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Zahid: Pembahagian kerusi tak boleh terburu-buru

Pengerusi BN Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan proses pembahagian kerusi antara parti dalam Kerajaan Perpaduan tidak boleh dilakukan secara tergopoh-gopoh.

Ini kerana katanya, sebarang keputusan perlu dibuat atas faktor kesaksamaan dan kebolehmenangan calon itu sendiri.

"Soal pembahagian kerusi itu bukan sekadar atas dasar kesaksamaan tapi tentang kebolehmenangan, maka apa yang dilakukan parti dalam kerajaan perpaduan adalah mengadakan perbincangan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dahulu.

"Apabila perbincangan di peringkat negeri dimuktamadkan, maka ia akan dibawa ke peringkat nasional di mana pengerusi gabungan dalam BN dan PH akan memuktamadkannya.

"Maka kita tidak akan membuat keputusan tergopoh-gopoh kerana bukan saja soal kemenangan, tetapi soal penerimaan oleh para pengundi dan juga 'likeability' seseorang calon yang disukai yang sesuai dengan cita rasa pengundi di kawasan berkenaan," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan Umno Pahang di Sungai Koyan dekat Lipis, Pahang.

Turut hadir Naib Presiden Umno yang juga menteri besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan proses pembahagian kerusi antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) lebih baik berbanding parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.

Semalam, Naib Presiden PAS, Idris Ahmad dilaporkan berkata rundingan pembahagian kerusi dalam kalangan komponen PN bagi plihan raya negeri (PRN) di enam negeri sudah berjalan hampir 50 peratus.

Idris memaklumkan rundingan itu masih berjalan di antara PAS bersama rakan-rakan di dalam komponen PN menjelang PRN yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Bagaimanapun, dia berkata pembahagian kerusi itu masih belum dimuktamadkan di peringkat pimpinan PN Pusat.

Sementara itu, Ahmad Zahid memberitahu kerajaan perpaduan masih mempunyai masa yang agak panjang bagi memuktamadkan rundingan pembahagian kerusi itu.

"Mungkin sampai bulan Julai atau Ogos untuk kita hadapi kempen pilihan raya secara rasmi.

"Ini perlu dilakukan bagi mengelakkan sebarang pertembungan atau pun sebarang permasalahan apabila calon dipilih itu tidak dapat memberikan kemenangan dalam PRN itu nanti," katanya lagi.

Dia turut mengingatkan bahawa parti komponen dalam kerajaan perpaduan agar tidak boleh mengambil ringan cabaran untuk PRN, terutamanya di Selangor.

"Jangan pernah ambil ringan, bukan sahaja di Selangor tetapi di enam negeri yang akan menghadapi PRN ini, tapi kami mempunyai keyakinan penuh kombinasi parti dalam kerajaan perpaduan menggerakkan jentera secara terselaras dengan memberikan penerangan kepada bakal pengundi, maka insya-Allah undian akan memihak kepada kami," katanya.