Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Lembaga pengampunan: Permohonan Najib akan dibawa pada masa sesuai

Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya memaklumkan permohonan pengampunan untuk bekas perdana menteri Najib Razak tidak dapat dibawa pada mesyuarat Lembaga Pengampunan kali ini.

Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri Khairul Dzaimee Daud berkata demikian ketika mengesahkan perkara itu tidak dibincangkan ketika mesyuarat pada 28 April lalu di Istana Negara.

“Urusetia Lembaga Pengampunan juga ingin memaklumkan bahawa kertas rayuan pengampunan Najib Razak tidak dapat dibawa pada mesyuarat Lembaga Pengampunan kali ini.

"Sebaliknya, kertas berkenaan akan dipertimbangkan pada masa yang sesuai mengikut perundangan dan peraturan-peraturan yang terpakai,” kata Khairul Dzaimee yang juga setiausaha Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dalam kenyataan hari ini.

Pada 31 Mac lalu, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan, dalam keputusan majoriti 4-1, menolak permohonan Najib untuk menyemak semula sabitan terhadap kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli mempengerusikan panel hakim yang turut dianggotai hakim Mahkamah Persekutuan Rhodzariah Bujang, Nordin Hassan dan Vernon Ong Lam Kiat serta Hakim Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais.

Keputusan ini selari dengan keputusan pada 23 Ogos tahun lepas oleh panel hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang mengekalkan keputusan bersalah Najib serta hukuman 12 tahun dan denda RM210 juta yang dijatuhkan.

Pada masa sama, Khairul berkata pada mesyuarat Lembaga Pengampunan baru-baru ini, sebanyak 10 kes rayuan pengampunan di bawah Peraturan 54 dan Peraturan 113 Akta Penjara 2000 telah dipertimbangkan.

Khairul berkata ia selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, di mana Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi ampun, menunda hukum dan melegakan hukum berkenaan dengan segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera dan segala kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.