Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Ada gelar saya ahli akademik pencen jadi 'cybertrooper' parti

ULASAN | Tidak terasa esok genap genap tiga bulan saya bertugas di Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) . Selama itu, saya berdepan dengan pelbagai kritikan dan cemuhan sehingga ada yang menggelarkan saya ahli akademik pencen yang bertukar kerjaya menjadi cybertrooper parti.

Cemuhan seperti itu kecil pada saya jika dibandingkan dengan cemuhan pembangkang ke atas diri Anwar Ibrahim. Walaupun pelbagai pembaharuan yang diperkenalkan oleh Anwar sejak dia menjadi perdana menteri, masih ada yang mengatakan dia adalah perdana menteri paling teruk dan zalim.

Cemuhan ini bertolak belakang dengan apa yang Anwar selalu sebutkan bahawa dia sendiri adalah mangsa kezaliman dan tidak akan sesekali membiarkan kezaliman serupa ditimpakan kepada orang lain.

Selain itu, Anwar sendiri berkali-kali menegaskan dia mahu mewujudkan tata kelola baik, membanteras rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan, pendakwaan tanpa memilih bulu, membela kemiskinan dan mengangkat kemanusiaan.

Janji Anwar inilah yang menyebabkan saya bertahan di jawatan ini, bukannya kerana dedak. Saya mahu bersama merealisasikan Malaysia Madani untuk mewujudkan Malaysia yang sejahtera, maju dan makmur.

Skop tugas saya di J-Kom jelas. Pertama, menyampaikan dasar-dasar kerajaan kepada rakyat. Kedua, mendidik dan menyedarkan rakyat untuk saling menghormati dan bersatu supaya tidak ada lagi sikap ekstremisme agama dan kaum.

Malangnya tugas ini menjadi cabaran apabila pemimpin pembangkang berterusan memainkan sentimen agama dan kaum serta menyerang Anwar dengan pelbagai tuduhan tidak berasas.

Sakan benci dan marahnya sesetengah orang pada Anwar, timbul gosip mahu menjatuhkannya sebagai perdana menteri atas alasan rakyat sudah bosan dengannya. Siapa yang bosan dan kenapa bosan saya tidak tahu, tetapi itulah yang selalu diratibkan oleh pihak yang tidak menyokong Anwar.

Nasihat saya, hentilah serangan ke atas Anwar dan kerajaan perpaduan. Tidak ke mana pun serangan yang emosi ini. Sukar untuk Langkah Sheraton berlaku lagi. Kerajaan ini telah kukuh dengan majoriti yang ada. Rakya pun sudah bosan dengan politik pembangkang kerana mereka dambakan kestabilan.

Sebaliknya, jalinkanlah hubungan baik dengan kerajaan pusat bagi membolehkan sistem federalisme berjalan lancar. Jika mahukan peruntukan sama rata kepada semua wakil rakyat parlimen tanpa mengira parti, berundinglah dengan kerajaan pusat.

Anwar sudah berkali-kali menyatakan kesediaan untuk berbuat demikian, tinggal lagi pemimpin pembangkang perlulah datang berunding mengenainya. Itulah yang dilakukan oleh Anwar sewaktu dia menjadi ketua pembangkang, dia datang berunding dengan perdana menteri waktu itu.

Hasilnya termeterailah MOU Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan persekutuan dan PH pada 13 September 2021.

Tindakan Anwar adalah contoh pembangkang yang konstruktif, ada agenda baik yang dibawa seperti transformasi pentadbiran, pembaharuan parlimen, kebebasan institusi kehakiman dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Saya menanti apakah pembangkang di bawah Hamzah Zainuddin mempunyai agenda kontsruktif ini? Ayuh, berani dan berjiwa besarlah untuk membentuk satu kerjasama dwipartisan seperti yang dibuat oleh Anwar dahulu.

Anwar memperkenalkan Sesi Soal Jawab Perdana Menteri di Dewan Rakyat bermula 13 Februari pada setiap Selasa, tetapi pemimpin utama pembangkang sentiasa hilang. Bila Anwar membuat majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di negeri-negeri pembangkang, ada yang menuduh dia mahu berpolitik.

Kempen politik apa jika majlis Raya adalah untuk bersama rakyat dan makan bersama rakyat? Yang berkempen ialah parti pembangkang yang banyak mengkritik majlis rumah terbuka ini.

Tidak saya nafi, Anwar dan kerajaan perpaduannya masih banyak kekurangan. Begitu pun, dia mendengar dan berusaha keras untuk mempercepatkan reformasi yang dijanjikannya. Bersabarlah, Anwar dan kerajaan perpaduan ini baru sahaja lima bulan memerintah.

Nilai kejayaan Anwar dan kerajaan perpaduan ini dengan mata hati. Lihat kepada media yang lebih bebas, gejala rasuah yang sudah dapat dibendung, pemborosan yang dapat dijimatkan, ekonomi yang lebih baik, pembelaan kepada rakyat miskin, negara yang lebih demokratik, rakyat yang semakin bebas bersuara.

Tetapi ingat jangan sampai memfitnah dan menyentuh 3R.

Saya semakin optimis. Saya mengharapkan sangat reformasi dapat disegerakan dan Malaysia Madani akan terlaksana baik, dan saya sendiri rela diri menjadi benteng untuk kejayaan ini.

Apa itu Malaysia Madani? Apa hebatnya Malaysia Madani? Tunggu, saya hasilkan pandangan sama ada dalam bentuk video atau tulisan dalam perkongsian berikutnya.


MOHAMMAD AGUS YUSOFF merupakan bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia dan penganalisis politik yang kini bertugas sebagai ketua pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.