Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

K'jaan digesa sedia perlindungan sosial lebih besar untuk pekerja

Sempena sambutan Hari Pekerja esok, Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) menggesa kerajaan supaya segera memperkenalkan undang-undang perlindungan sosial yang lebih besar kepada pekerja Malaysia.

Penasihat buruh antarabangsanya Callistus Antony D'Angelus berkata perlindungan itu perlu merangkumi insurans dan faedah pengangguran, perlindungan dan hak kesatuan sekerja yang lebih besar, serta undang-undang lebih ketat yang mengawal pembuangan pekerjaan.

Tegasnya, mesti ada pendekatan untuk dengan serius menangani pengurusan kanan dan pengarah syarikat yang melanggar undang-undang buruh negara.

"(Perdana Menteri) Anwar Ibrahim telah menegaskan dengan betul bahawa rasuah telah mengakibatkan ekonomi Malaysia dikawal oleh sekumpulan kapitalis uber terpilih.

"Ini telah menghalang sifat dinamik bentuk kapitalisme yang adil dan saksama daripada berkembang.

"Golongan miskin semakin miskin, golongan pertengahan dihimpit kemiskinan, dan satu peratus semakin kaya dan merompak rakyat jelata Malaysia.

"Rasuah memberi manfaat kepada raja perompak, termasuk syarikat besar-syarikat besar dan syarikat multinasional asing,” kata D'Angelus pada satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pekerja Malaysia telah sengaja dipinggirkan selama ini, melalui bentuk penindasan sistemik hak mereka dan penafian berterusan terhadap bahagian yang saksama daripada limpahan ekonomi hasil kejayaan dan pertumbuhan ekonomi negara.

Walau bagaimanapun, buat pertama kali dalam beberapa dekad, terdapat 'cahaya di hujung terowong' harapan untuk memulihkan keseimbangan dan pegangan dalam sektor sosio-ekonomi negara.

"Pelan reformasi Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Malaysia Madani, dengan tepat telah menegaskan kesan ketidaksamaan ekonomi yang telah diakibatkan oleh pengabaian bertahun-tahun, rasuah yang diinstitusikan, dasar yang tidak sesuai dan kekurangan tadbir urus yang baik," katanya.

"Anwar telah mengenal pasti isu-isu itu, mendedahkannya tanpa rasa takut atau pilih kasih, dan memberi jaminan lisan yang sewajarnya kepada rakyat Malaysia.

"Kini tiba masa untuk bertindak dan melaksanakan transformasi Malaysia demi kepentingan semua rakyat Malaysia dan bukan hanya korup," katanya lagi.

Sementara itu, D'Angelus memetik data Bank Dunia pada 2020 menyebut peratusan rakyat Malaysia yang hidup di bawah paras kemiskinan negara sebanyak RM2,208 (kira-kira AS$11 seorang sehari) ialah 8.4 peratus.

"Soalan perlu ditanya sama ada isi rumah boleh mengekalkan taraf hidup yang layak, yang merupakan hak asasi manusia, dengan pendapatan RM2,208 sebulan, terutamanya di bandar-bandar yang besar.

"Jelas sekali, jawapannya adalah negatif. Ini bermakna bahawa insiden kemiskinan di negara ini lebih tinggi daripada data yang dicadangkan," katanya.