Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

NGO gesa k'jaan tubuh RCI siasat rasuah dalam sistem pekerja asing

Labour Law Reform Coalition (LLRC) menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk menyiasat unsur rasuah dalam sistem pengurusan pekerja asing.

Pengerusi bersama LLRC Irene Xavier berkata, RCI itu antara lain perlu memberi tumpuan kepada syarikat dalam Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu, pembekal perkhidmatan serta agensi pengambilan di negara terlibat.

"Siasatan SPRM terhadap pegawai menteri sumber manusia (V Sivakumar) menimbulkan kebimbangan.

"Kita perlu gunakan pendekatan holistik untuk menangani rasuah di dalam sistem, tiada pihak yang patut melayan pekerja asing seperti komoditi dan mengaut keuntungan daripadanya," katanya dalam sidang media sempena Hari Pekerja di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor hari ini.

Irene Xavier

Turut serta dalam sidang media adalah pengerusi bersama N Gopal Kishnam dan Pengarah NGO hak buruh North South Initiative, Adrian Pereira.

'Bukan isu baru'

Adrian mengakui isu berkaitan rasuah dalam sistem pengambilan pekerja asing bukan perkara baru.

Maka, dia menegaskan kepentingan RCI tersebut, terutama setelah ada pekerja asing yang teraniaya, termasuk terkandas di KLIA dan tidak diberikan kerja setelah tiba di Malaysia.

Kes terbaru melibatkan lebih 200 warga Bangladesh dan Nepal yang terkandas di rumah transit selama di Nilai, Negeri Sembilan, selama 40 hari dan tidak diberikan kerja.

"Sementara kerajaan telah melakukan langkah untuk menambah baik proses pengambilan pekerja asing dalam beberapa tahun ini, kita masih melihat masalah sama berlaku.

"Pada tahun ini, kita dapati ratusan pekerja asing yang dibawa masuk ke negara tanpa kerja disediakan. Ini mengejutkan.

Adrian Pereira

"Persoalannya - siapakah pegawai atau kementerian yang meluluskan visa untuk mereka walaupun kerja tidak diperuntukkan?" soalnya.

Adrian turut mengulang gesaan PSM dan bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago agar kerajaan mendedahkan laporan jawatankuasa khas bebas berkenaan pengurusan pekerja asing.

Dia menggesa agar kerajaan mendedahkan laporan itu - yang dikemukakan pada tahun 2019 oleh Jawatankuasa Khas Pengurusan Pekerja Asing - kepada umum.

Jawatankuasa itu dipengerusikan bekas hakim Mahkamah Rayuan Hishamuddin Yunus dan ditubuhkan ketika pentadbiran PH pada 2018.

Pada 2021, Hishamuddin dilaporkan berkata laporan itu telah diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi dan menyatakan bahawa jawatankuasa khas tersebut kecewa kerana tiada alasan diberikan berhubung perkara itu.

Penubuhan RCI adalah antara 10 tuntutan yang disuarakan LLRC yang menurutnya dapat menambah baik kehidupan pekerja di Malaysia.

Antara tuntutan lain adalah agar kerajaan memastikan majikan mematuhi sepenuhnya peraturan gaji minimum RM1,500 dan memberikan kenaikan gaji sekurang-kurangnya 25 peratus kepada pekerja yang sudah lama bekerja, serta agar menteri sumber manusia memberi pengecualian untuk membolehkan pekerja asing menubuhkan kesatuan sekerja dan memegang jawatan dalam kesatuan itu.

[Baca berita asal]