Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Rayu tolak pengampunan Najib: Maaf tapi ini pendirian kami - Khalid

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata dia meminta maaf jika rayuannya agar Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menolak permohonan pengampunan bekas perdana menteri Najib Razak telah menyebabkan Umno tidak puas hati.

Khalid berkata ia hanyalah soal perbezaan pandangan dalam perkara itu dan dia memohon maaf kerana tidak memiliki pendirian yang sama dengan Umno.

"Kita tidak serang atau kritik Umno, kita hormat hak mereka untuk buat permohonan pengampunan. Itu hak mereka dan mereka boleh berbuat demikian, tiada isu.

"Sekarang mereka kritik kita dan kata kita tidak pandai bekerjasama...kita cuma nyatakan pendirian berbeza.

"Malangnya mereka nak jadikannya sebagai isu. Saya minta maaf kerana buat mereka tak puas hati, tetapi ini pendirian Amanah.

"Jadi kita mohon maaf kerana tidak berpendirian sama (dalam perkara itu)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Sehari selepas Khalid mengeluarkan kenyataan, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menggesa semua pihak agar berhenti memberi ulasan "tidak sepatutnya" berhubung isu tersebut dan menyerahkannya kepada kebijaksanaan Agong.

Umno Kelantan pula berkata ia akan mempertimbangkan untuk memutuskan hubungan dengan Amanah jika Khalid tidak menarik balik kenyataannya dan memohon maaf.

Hari ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Mohd Puad Zarkashi menyifatkan kenyataan itu menunjukkan Amanah tidak layak menjadi "sahabat perjuangan" dan tidak memberi jaminan kerajaan persekutuan boleh terus bertahan.

Mengulas lanjut, Khalid berkata parti dalam kerajaan harus mengamalkan prinsip "bersetuju untuk tidak bersetuju" dan menghormati perbezaan pendapat.

Ketika ditanya sama ada pertikaian mengenai pengampunan Najib akan menjejaskan kerjasama antara BN dan PH dalam PRN akan datang, Khalid berkata parti yang berbeza pasti adapendapat yang berbeza dalam sesuatu isu.

"Ia tidak sepatutnya membawa kepada pecah atau perbalahan," kata bekas menteri PH itu lagi.

Diampunkan atau tidak, terserah kepada Agong

Khalid turut menyuarakan harapannya agar Umno Kelantan tidak memutuskan hubungan dengan Amanah negeri susulan kenyataannya itu.

"Saya membuat kenyataan untuk menjelaskan pendirian (Amanah), ia bukan bertujuan untuk memusuhi atau menimbulkan pergeseran antara parti gabungan," katanya.

Katanya lagi, keadaan pasti berbeza jika dia mengkritik tindakan Umno untuk membuat permohonan pengampunan diraja untuk Najib, tapi bukan itu yang disuarakannya.

"Saya cuma kata ini pendirian Amanah kerana hakikatnya kita mahu kerajaan bersih yang komited dalam melawan rasuah," katanya.

Dia menegaskan keputusan permohonan pengampunan untuk Najib adalah terletak pada Agong, dan ia jelas disebut dalam kenyataan awalnya.

Dia berkata Amanah sedia menerima apa sahaja keputusan yang dibuat oleh Agong berhubung permohonan itu.

Pada masa sama, dia berkata faktor penyatuan terbesar parti dalam kerajaan ialah keinginan mereka untuk mencapai Malaysia Madani dan "rahmah" dalam politik.

Mohamad Sabu

Sementara itu, Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata semua individu berhak untuk menyatakan pandangan mereka tetapi ia tidak mewakili parti, melainkan ia memang keputusan rasmi parti.

Sebagai contoh, dia berkata parti komponen PH tertakluk kepada keputusan yang dibuat oleh kepimpin tertinggi, sementara keputusan yang dibuat oleh kerajaan mengatasi keputusan yang dibuat oleh mana-mana parti dalam kerajaan secara individu, katanya.

“Pemimpin Amanah berhak menyuarakan pandangan, tetapi mereka terikat dengan keputusan parti. Ini amalan biasa dalam mana-mana organisasi.

“Dalam kes yang melibatkan Najib, kuasa tertinggi yang mempunyai hak untuk membuat keputusan adalah Agong.

“Bagaimanapun, semua pihak yang menyuarakan pandangan dalam isu ini sayang kepada kerajaan perpaduan dan kerajaan perpaduan perlu memberi fokus kepada khidmat kepada rakyat sebagaimana yang diamanahkan,” katanya lagi.