Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Anwar arah henti pasang papan iklan M'sia Madani papar wajahnya

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pemasangan papan iklan (billboard) baru yang memaparkan wajah dirinya dan Malaysia Madani yang menggunakan peruntukan kerajaan dihentikan serta-merta.

Beliau berkata pemasangan papan iklan itu tidak mendapat persetujuan serta kelulusannya, dan beliau mahukan supaya peruntukan bagi pemasangan papan iklan berkenaan dimanfaatkan kepada tujuan lain demi kepentingan rakyat.

Bagaimanapun katanya bagi papan-papan iklan yang telah siap dan dipasang, termasuk di tepi-tepi jalan, ia boleh dikekalkan.

"Saya datang dalam perjalanan ke Alor Setar, dan semalam beritahu tentang billboard Anwar dan Madani itu di seluruh negara, ini tidak mendapat persetujuan dan kelulusan saya.

"Saya sudah beritahu tidak payah belanja ini, dijawab oleh jabatan yang berkenaan bahawa peruntukan ini peruntukan lama dan oleh kerana pertukaran perdana menteri dan kerajaan (maka) ia dipindahkan," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di Alor Setar hari ini.

Anwar berkata beliau faham mengenai perkara itu, namun berpandangan peruntukan itu boleh digunakan untuk tujuan lain, dan beliau mahukan supaya semua pengeluaran papan iklan baru bagi tujuan itu dihentikan bagi mengelak pembaziran.

Jelasnya perkara itu tidak boleh diteruskan bagi menunjukkan pendirian sebenar Kerajaan Madani, dan beliau meminta supaya ia dihormati.

"Pegawai yang terlibat itu mungkin merasakan ini hanya meneruskan dasar yang sedia ada, jadi saya tak salahkan, kebetulan saya tidak dimaklumkan dan saya tidak boleh memberi keputusan (ketika itu).

"Oleh kerana saya sudah dimaklumkan, saya tidak mahu dana kerajaan digunakan untuk buat billboard besar-besar, cukuplah yang ada tetapi tidak boleh diteruskan," katanya.

Sementara itu dalam sesi temu bual secara langsung bersama Bernama TV di majlis sama, Perdana Menteri berkata Kedah mempunyai potensi untuk berkembang bersama negeri-negeri lain jika dapat diuruskan dengan baik.

"Kedah ini dikenali sebagai Jelapang Padi dan kita ada Kulim Hi-Tech Park, pelaburan baru, (kemudian) usaha kita untuk membina pelabuhan di Sanglang itu akan diteruskan, dan juga tentang Kedah serta Perlis untuk bina pelabuhan selain lintasan pelabuhan darat yang sedang direncanakan.

"Ia akan mengangkat kedudukan Kedah, Perlis bersama Pulau Pinang dan Perak tentunya sebagai negeri yang lebih maju dan potensinya besar, tetapi ia harus diurus dengan baik serta ada kerjasama yang rapat dan mantap antara (kerajaan) negeri dan Persekutuan," katanya.

- Bernama