Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

55 hari tanpa berita, Aidilfitri bagaikan tiada makna

Sambutan Aidilfitri tahun ini tidak memberi sebarang makna bagi keluarga Nur Hafizah Zailan yang hilang ketika banjir besar melanda Kampung Aur, dekat Muadzam Shah, Rompin, awal Mac lalu.

Hari ini genap 55 hari bekas pelajar program pembangunan tamadun Orang Asli (Pepima) anjuran Yayasan Pahang itu gagal dikesan selepas terjatuh ketika menyeberangi jambatan gantung kampung itu.

Memasuki hari kelima sambutan Aidilfitri, kakak kepada Nur Hafizah, Nur Wahida, 25 tahun mengakui sangat terkesan dengan insiden menimpa adiknya itu.

"Tidak ada apa-apa persiapan langsung kami buat untuk sambutan hari raya tahun ini, kami cuma harap dia dapat ditemui sahaja," katanya ketika ditemui di Kampung Aur.

Nur Wahida berkata, bapa mereka, Zailan Abd Mani, 49 masih belum berputus asa walaupun operasi mengesan Nur Hafizah sudah dihentikan.

Katanya, hampir setiap pagi dan petang bapa mereka menyusuri sungai kampung itu bagi mencari Nur Hafizah.

"Ayah macam itulah rutin hariannya, tiap hari mesti turun ke sungai dengan bot untuk mencari adik.

"Dia pun sudah jarang bercakap dengan kami dan kami faham, ayah masih menaruh harapan untuk menemui juga adik walau dalam keadaan macam mana sekali pun," katanya lagi.

Ketika ditanya mengenai kenangan terakhir bersama Nur Hafizah yang lebih mesra dipanggil 'Kak Ngah' dalam kalangan ahli keluarga mereka, Nur Wahida berkata, adiknya ada menghantar pesanan melalui aplikasi WhatsApp kira-kira seminggu sebelum kejadian.

"Dia cakap (hantar) 'saya sayang awak' melalui WhatsApp dan saya ingatkan dia bergurau sebab dia memang suka mengusik kami.

"Lagipun saya memang rapat dengan dia, jadi saya pun tak sangka ia seolah-olah satu tanda dia nak pergi meninggalkan kami," katanya.

Rancang pakai sedondon

Nur Wahida turut memberitahu adiknya itu juga sudah merancang untuk memakai baju raya sedondon sempena Aidilfitri tahun ini.

Katanya, Nur Hafizah memilih warna biru untuk tema pakaian mereka sekeluarga, tapi ia tidak menjadi kenyataan.

"Itulah antara yang dia pernah cakap, nak pakai warna biru tahun ini, biar sedondon kami semua.

"Bila dia dah tidak ada, memang kami tak buat apa-apa (persiapan), biskut raya dan kuih gunting yang menjadi kegemaran kami pun, kami tak buat," katanya.

Dia turut berharap adiknya itu ditemui walaupun tempoh kehilangannya sudah terlalu lama.

“Sekurang-kurangnya biarlah ada tanda, jika dia sudah meninggal dunia, sekurangnya ada kubur untuk kami ziarahi,” katanya.

Nur Hafizah dilaporkan hilang pada 3 Mac lalu ketika menyeberangi jambatan gantung untuk menyelamatkan kucing peliharaannya.

Operasi mencari dan menyelamat dilakukan pelbagai agensi sebaik menerima laporan kejadian itu, namun sehingga 4 April lalu, tidak ada sebarang tanda ditemui pasukan keselamatan.

Selain bekas pelajar Petama Yayasan Pahang, Nur Hafizah juga adalah penyelaras pembangunan insaniah masyarakat Orang Asli bagi kampung Orang Asli Gadak dekat Bukit Ibam dan turut mengajar orang kampung itu mengaji Al-Quran.