Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

'PN persoal kedudukan P Pinang sebab cemburu dengan kejayaannya'

Adun Pulau Tikus Chris Lee Chun Kit mendakwa kritikan berterusan PN terhadap Pulau Pinang disebabkan cemburu dengan kejayaan pentadbiran kerajaan negeri itu.

Lee menyifatkan PN Kedah yang dipimpin menteri besar negeri itu, Muhammad Sanusi Md Nor cemburu dengan kejayaan Pulau Pinang dan menggunakan apa yang didakwanya sebagai fakta yang diputar belit bagi mengalih perhatian daripada kegagalan pentadbirannya sendiri.

"Ini sebabnya PN Kedah mahu terus mempersoalkan kedudukan Pulau Pinang dalam persekutuan. Status kami sebagai negeri sudah pun termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan itu sudah memadai.

"Jika pentadbiran Pulau Pinang adalah satu kegagalan, mungkin PN Kedah tidak peduli kepada kami," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu merujuk artikel Free Malaysia Today yang memetik kenyataan penganalisis politik Oh Ei Sun yang berpandangan "gelombang hijau" PN berkemungkinan memberikan kemenangan kepada PN di hampir semua kerusi majoriti Melayu di Pulau Pinang.

Muhammad Sanusi

Sanusi sebelum ini mempersoalkan status Pulau Pinang dengan menyifatkannya sebagai negeri pajakan daripada Kedah.

Pada Februari lalu, Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer membuat laporan polis terhadap Sanusi kerana didakwanya telah mempersoalkan kedaulatan Pulau Pinang.

Pemimpin PAS itu pernah membuat dakwaan serupa ketika sidang DUN Kedah pada 2021.

Ketika itu, Sanusi dilaporkan berkata dia memahami kebimbangan Pulau Pinang berhubung beberapa projek mega yang diumumkan Kedah yang dilihat akan memberi saingan kepadanya.

"...Pulau Pinang adalah negeri yang dipajak dari Kedah. Jangan pula kita pajak tanah orang, kemudian kita marah pula kepada tuan tanah yang kita pajak itu. Itu tidak patut," katanya seperti dipetik Berita Harian.

Lee menggsa penduduk Pulau Pinang agar mempertahankan negeri itu daripada "politik toksik" PN dan menggeas mereka untuk keluar mengundi pada PRN akan datang.

"Undi anda dalam PRN akan datang penting. Jangan biar PN musnahkan apa yang telah kita usahakan," katanya lagi.