Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

K'jaan Kelantan gesa masjid, surau sembahyang hajat mohon hujan

Kerajaan Kelantan menyeru masjid dan surau di negeri itu agar mengadakan sembahyang hajat untuk memohon hujan, susulan cuaca panas pada masa ini.

Dalam kenyataan hari ini, Menteri Besar Ahmad Yakob turut menggesa penduduk negeri itu agar berbuat demikian.

Ahmad berkata keadaan cuaca panas yang dijangka berlanjutan sehingga Ogos ini telah menyebabkan kemarau dan menjejaskan tanaman.

"Untuk itu, saya menyeru rakyat Kelantan untuk perbanyakkan istighfar dan berdoa kepada Allah serta mengambil peluang untuk solat hajat di rumah masing-masing. Para imam disarankan melaksanakan solat hajat di masjid atau surau memohon agar hujan dapat turun pada kadarnya demi kesejahteraan bumi dan seluruh penduduk.

"Semoga dengan usaha dan ikhtiar ini, Allah menurunkan Rahmat-Nya kepada kita semua dengan menganugerahkan hujan secara merata lagi menyegarkan bumi ini," katanya.

Dua hari lalu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan tujuh kawasan di Semenanjung dan dua di Sabah mengalami cuaca panas sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut dengan suhu boleh mencecah antara 35 dan 37 darjah Celsius.

Antara kawasan tersebut adalah empat jajahan di Kelantan iaitu Jeli, Kuala Krai, Pasir Mas dan Tanah Merah.