Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Hasrat mangsa lemas langsungkan perkahwinan tak kesampaian

Hasrat anak sulung daripada enam beradik untuk melangsungkan perkahwinan pada November ini tidak kesampaian selepas ditemukan lemas bersama dua adik perempuannya di Pantai Cahaya, dekat Port Dickson semalam.

Sepupu perempuan mereka, R Thammanty, 30, berkata mangsa, R Kalaivani, 30 juga telah membuat persiapan untuk mengadakan majlis praperkahwinan dalam waktu terdekat bersama tunang, J Sathiswaran, 29, yang terselamat ketika kejadian berkenaan.

“Pemergian mereka amat mengejutkan kami semua. Kalaivani dan Sathiswaran dah bertunang sejak lapan tahun lepas, mereka sedang mengumpul wang untuk melangsungkan perkahwinan November nanti, tapi apakan daya apabila dia bersama dua adiknya pergi dulu.

“Dia dan tunangnya tinggal di Taiping, Perak dan pulang bercuti di rumah keluarga Kalaivani di Banting, Selangor pada Sabtu lepas. Saya dan sepupu memang sangat rapat, rumah juga berdekatan, tiada sebarang perubahan ditunjukkan ketika kami berjumpa, mereka sangat ceria,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Port Dickson hari ini.

Selain Kalaivani, turut ditemukan lemas dalam kejadian pada 5.57 petang itu adalah adik keduanya Dawige, 29, dan adik bongsu, Sathiyadevi, 19, manakala adik lelaki yang juga anak kelima, Veeran, 26, dan Sathiswaran berjaya diselamatkan oleh orang awam.

Thammanty berkata percutian sepupunya bersama ibu mereka, K. Anchalay, 52, semalam juga adalah percutian pertama keluarga itu ke Port Dickson kerana sebelum ini mereka hanya ke kawasan sekitar Selangor sahaja.

Menurutnya ketika ini keadaan emosi Anchalay tidak stabil dan masih menangis berikutan hilang ketiga-tiga anak perempuannya serentak, manakala anak lelakinya masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Mengulas kejadian semalam, Thammanty berkata dia menyedari Veeran mengambil kereta di parkir hadapan rumah kira-kira 2 petang dan menjelang malam rumah mereka dilihat masih gelap sehingga menimbulkan kerisauan kerana sebelum ini mereka sekeluarga akan memaklumkan padanya jika mahu ke mana-mana.

“Tidak lama kemudian, saya dapat panggilan daripada mak cik (Anchalay) memaklumkan tiga sepupu saya meninggal dunia, saya fikir mereka kemalangan tetapi sampai di hospital baru tahu mereka lemas. Menurut mak cik kejadian berlaku sangat pantas hingga dia sendiri tidak perasan,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson DSP Muhamad Mustafah Hussin dilaporkan berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan proses bedah siasa sedang dilakukan ketika ini.

- Bernama