Kedah juga sebahagian dari Malaysia, Anwar adalah PM, kata PKR
Alasan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor bahawa Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri tidak wajar diadakan di Kedah kerana melibatkan kos yang tinggi dilihat sebagai tidak matang.
Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata tindakan Sanusi yang terus mengecam keputusan kerajaan pusat untuk mengadakan majlis rumah terbuka sambutan Aidilfitri di Alor Setar, tahun ini seolah-olah Kedah bukan sebahagian daripada Malaysia.
"Saya ingin menekan di sini, negara Malaysia bukan bermaksud hanya Kuala Lumpur dan Putrajaya sahaja. Ia adalah dari Perlis hingga Sabah dan Anwar Ibrahim adalah perdana menteri.
"Maka, tidak bangkit isu kenapa majlis rumah terbuka kerajaan persekutuan pada tahun ini tidak boleh diadakan di Kedah," katanya kepada Malaysiakini.
Dia berkata demikian ketika mengulas kenyataan Sanusi yang tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan mengadakan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri pada Sabtu 29 April, di Hotel Raia Alor Setar, Kedah.
Sebelum ini, berbeza dengan dua rakan sejawatannya dari Kelantan dan Terengganu, Sanusi beranggapan Majlis Rumah Terbuka sebagai program kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) dan tidak wajar diadakan.
Katanya, program terbabit melibatkan kos yang tinggi dan seharusnya jamuan rumah terbuka Aidilfitri diadakan di satu saja lokasi iaitu di Seri Perdana atau di sekitar Putrajaya seperti kelazimannya ini dan bukannya di enam negeri seperti yang dirancang.
Selain Kedah, Terengganu, dan Kelantan yang diterajui oleh Perikatan Nasional (PN), majlis serupa juga akan diadakan di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
Mengulas lanjut, Sathia berkata keputusan perdana menteri mengadakan majlis terbuka di enam negeri sepatutnya perlu dipuji.
"Kita lihat sebelum ini, kelazimannya hanya rakyat sekitar Lembah Klang sahaja menikmati majlis rumah terbuka kerajaan. Rakyat dari luar perlu belanja besar untuk turun ke Kuala Lumpur untuk menghadiri ke majlis rumah terbuka.
"Maka, apa salahnya, kali ini majlis ini diadakan di luar Kuala Lumpur, dengan niat semua rakyat berhak menikmatinya. Kenapa Sanusi berasa dengki?
"Saya harap pada masa hadapan majlis ini akan turut diadakan di Sabah dan Sarawak," katanya.
Buat pertama kali dalam sejarah majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri yang lazimnya diadakan pada 1 Syawal akan diadakan di luar Lembah Klang dan pada tarikh berbeza.
Sabtu lalu, Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar berkata dia mengalu-alukan kedatangan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim serta kabinet ke negeri itu.
Malah, katanya, perbezaan parti politik yang memerintah di peringkat negeri dan pusat bukan halangan untuk mereka bekerjasama bagi menyambut Aidilfitri menerusi penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Madani yang dijadualkan pada 13 Mei ini.
Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob pula berkata “hubungan antara negeri dan persekutuan mesti wujud” dan kerajaan negeri tidak mempunyai halangan terhadap majlis itu yang dijadualkan pada 12 Mei di Kota Bharu itu.
Bagaimanapun Ahmad enggan mengulas apabila ditanya jika penganjuran majlis berkenaan dikatakan mempunyai kaitan dengan PRN.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai