Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pasal apa takut? Sanusi pun boleh tumpang semangkuk, kata Puad

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT)Umno, Mohd Puad Zakarshi percaya bahawa Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor ketakutan susulan keputusan kerajaan untuk mengadakan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di enam negeri.

“Apa yang tidak wajarnya? Buat rumah terbuka ke akar umbi lagi wajar. Biar rakyat di negeri lain merasa.

“Taklah dari dulu sampai sekarang Putrajaya sahaja merasa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Puad berkata, meskipun mungkin akan terdapat unsur politik dan kempen dalam penganjuran rumah terbuka itu, namun dia mengibaratkannya umpama 'sambil menyelam minum air'.

“Dia kata itu kempen. Tujuan rumah terbuka adalah (aktiviti) perhubungan awam iaitu meluaskan hubungan kita dengan orang ramai, jira, kenalan rapat dan saudara mara. Semua orang boleh datang. 

“Sebab itu semua wakil rakyat dan MB buat rumah terbuka. Memang ada sedikit unsur politik dan kempen. Sambil menyelam sambil minum air. Apa salahnya?” soal pemimpin Umno itu.

Mohd Puad Zakarshi, Anggota MKT Umno

Semalam, pemimpin PAS itu dilaporkan sebagai kurang senang dengan penganjuran Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani atas alasan ia sebagai program kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) dan tidak wajar diadakan.

Katanya, program terbabit melibatkan kos yang tinggi dan seharusnya jamuan rumah terbuka Aidilfitri diadakan di satu saja lokasi iaitu di Seri Perdana atau di sekitar Putrajaya seperti kelazimannya sebelum  ini dan bukannya di enam negeri seperti yang dirancang.

Mengulas lanjut, Puad secara sinis mencadangkan Sanusi supaya mengambil kesempatan untuk berkempen sama.

Gambar Hiasan - Anwar bersama orang ramai

“Sanusi pun boleh tumpang semangkuk, dia boleh berdiri sebelah Anwar dari pagi sampai petang dan bersalam dengan semua pengunjung. 

“Lagi ramai datang lagi bagus," katanya sama menawarkan Sanusi petua untuk menjimatkan wang kerajaan negeri Kedah.

Puad turut menafikan majlis rumah terbuka berkenaan satu pembaziran.

“Kalau mahu berjimat cermat Sanusi tidak perlu buat rumah terbuka lain. Lagi pun mungkin orang yang sama akan hadir. Itu pembaziran.

“Sepatutnya Sanusi fokus tujuan rumah terbuka diadakan, bermaaf- maafan dan kemeriahannya.

“Kita mahu rakyat gembira, sebab itu dapat cuti tambahan dan tol percuma empat hari,” katanya. 

Buat pertama kali dalam sejarah majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri yang lazimnya diadakan pada 1 Syawal akan diadakan di luar Lembah Klang dan pada tarikh berbeza.

Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri itu dijadualkan diadakan di di Hotel Raia di Alor Setar pada Sabtu depan sebelum ke lima negeri lagi.

Selain Kedah, Terengganu, dan Kelantan yang diterajui oleh Perikatan Nasional (PN), majlis serupa juga akan diadakan di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.