Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PRN: Dr Sathia nafi ganti Chua bertanding DUN Rawang

Timbalan Setiausaha Agung PKR Dr Sathia Prakash Nadarajan (gambar, judul) menafikan laporan bahawa dia akan bertanding DUN Rawang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor menggantikan penyandangnya Chua Wei Kiat.

Katanya, sebarang keputusan mengenai calon PKR bertanding pada PRN akan ditentukan oleh presiden parti Anwar Ibrahim.

"Tiada sebarang pengumuman rasmi setakat ini mengenai nama calon yang bertanding di PRN.

"Laporan itu tidak tepat. Sebarang keputusan rasmi akan diambil oleh pucuk pimpinan parti yang dipengerusikan oleh presiden," katanya kepada Malaysiakini.

Adun Rawang Chua Wei Kiat.

Dr Sathia berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media bahawa dia mengintai kerusi DUN Rawang.

Terdahulu, Sin Chew melaporkan bahawa Sathia berniat bertanding di Rawang setelah ketua cabang PKR Hulu Selangor itu dikatakan sering kelihatan di Rawang.

Bagaimanapun, doktor perubatan itu menafikan laporan berkenaan.

"Saya sebagai ketua cabang sering ke Rawang untuk berjumpa pengundi parlimen Hulu Selangor yang menetap di sana.

Gambar fail, Dr Sathia.

"Seperti kita tahu, Rawang adalah sebuah kawasan terletak di sempadan Hulu Selangor.

"Selain itu saya juga mempunyai klinik di Rawang," katanya.

Pada PRU 15, Sathia bertanding di kerusi parlimen Hulu Selangor tetapi tewas kepada calon PN Hasnizan Harun dengan majoriti tipis 1,562 undi dalam pertarungan enam penjuru.

Kerusi parlimen Hulu Selangor mempunyai jumlah 154,317 pengundi.