Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sarawak bukan hanya untuk orang Islam saja - menteri negeri

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah berkata rancangan pembangunan pusat peranginan Borneo Highlands tidak terhad kepada kasino sahaja.

Ketika mengulas bantahan PAS terhadap cadangan kasino dalam projek itu, Karim berkata pusat peranginan itu akan merangkumi taman hiburan dan padang golf.

"Kasino mungkin menjadi sebahagian daripadanya," katanya, memetik laporan Malay Mail.

Dia menyoal mengapa PAS hanya menentang kasino sedangkan terdapat pusat perjudian lain seperti nombor 4D masih terdapat di negeri itu.

"Ini juga haram bagi orang Islam. Tetapi apabila kasino itu dipertikaikan, semua orang teruja tanpa menyedari bahawa kasino bukanlah satu-satunya perkara yang perlu didirikan di pusat peranginan Borneo Highlands.

"Tetapi tidak ada (salah) untuk menubuhkan kasino kerana Sarawak bukan hanya untuk orang Islam," katanya.

Jelasnya, perancangan akhir pusat peranginan itu terletak pada Premier Sarawak Abang Johari Openg.

Butiran pusat peranginan Borneo Highlands adalah terhad pada masa ini tetapi sekurang-kurangnya dua menteri kabinet Sarawak - Karim dan Roland Sanggah - secara terbuka menyatakan bahawa mereka tidak akan menolak kasino.

Pada tahun 1994, Kerajaan Sarawak telah memberikan 2,071 hektar tanah di Borneo Highlands bagi tujuan pusat peranginan yang akan dibangunkan oleh Borneo Heights Sdn Bhd.

Apabila projek itu tidak direalisasikan sepenuhnya, kerajaan negeri memaksa syarikat itu agar melucutkan hak tanah.

Selepas perbicaraan mahkamah, kerajaan Sarawak menuntut kembali kawalan ke atas tanah itu pada 7 Mac yang lalu.