Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Raya kali ini tiada erti buat kami sekeluarga, kata anak Najib

“Hari raya kali ini tiada erti buat kami sekeluarga kerana selalunya ayah sentiasa berada di sisi kami.

“Yana amat terkesan apa yang berlaku terhadap ayah sehingga beliau terpaksa beraya keseorangan di penjara.”

Itulah luahan hati anak perempuan bekas perdana menteri Najib Razak yang didapati bersalah dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram SRC International pada pagi 1 Syawal,

Menerusi hantaran di media sosial, Nooryana Najib berkongsi suasana suram sambutan Hari Raya keluarganya tahun ini - yang pertama sejak Najib dipenjarakan pada Ogos tahun lalu.

Dalam video sepanjang satu minit dan 30 saat yang memaparkan gambar-gambar sambutan Hari Raya bapanya pada tahun-tahun sebelum ini, Nooryana - lebih dikenali sebagai Yana - mengimbau tradisi lazim keluarga mereka.

“Menjelang raya kebiasaannya Yana akan memilih baju raya ayah. Kami sekeluarga juga akan mendapatkan kain yang sepadan warnanya. 

“Ayah juga mengingatkan kami sediakanlah rendang kegemarannya. Nak makan dengan lemang resepi Mak Wan dari Seremban belah ibu.

“Sebelum raya kami semua tentutnya akan menziarahi kubur atuk dan nenek. Di pagi raya kami bersalaman memohon ampun dan maaf dan semestinya semua hadir bergambar sekeluarga.

“Sudah tiada tahun ini. Apakah ertinya raya bagi kami tanpa ayah. Di mana kemeriahannya gambar keluarga tahun ini. 

“Raya tahun ini tidak bermakna kepada kami lagi,” katanya.

Kata Yana lagi, dia sangat rindu untuk berjumpa dengan bapanya.

“Rindu, rindu yang tidak terkata. Yana merayu diberi peluang menziarahi ayah. Yana merayu dibenarkan meluangkan sedikit masa bersama. 

“Yana merayu belas kasihan untuk bersama ayah di pagi raya. Yana merayu Yana rindu kebahagian sekeluarga. Yana berpegang kepada secebis harapan yang ada mendoakan sebaik-baiknya buat ayah,” luahnya lagi. 

Majlis Kerja Tertinggi Umno pada 7 April lalu memaklumkan bahawa mereka sebulat suara memutuskan untuk memohon pengampunan diraja untuk bekas perdana menteri Najib.

Menurut Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki, Umno juga akan menyampaikan memorandum yang ditandatangani oleh semua 191 pemimpin bahagian parti itu.

Ini selepas mahkamah persekutuan dalam keputusan majoriti 4-1 pada 31 Mac menolak permohonan bekas perdana menteri itu untuk menyemak semula sabitannya, termasuk hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes rasuah SRC International RM42 juta.

Untuk kesalahan itu, Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun.

Bekas perdana menteri itu juga masih mempunyai beberapa kes yang sedang berjalan termasuk perbicaraan rasuah 1MDB bernilai RM2.28 bilion.

Dua lagi kes yang masih belum dibicarakan sepenuhnya ialah kes pengubahan wang haram SRC International berjumlah RM27 juta dan kes pecah amanah syarikat International Petroleum Investment Company yang membabitkan penyelewengan RM6.6 bilion.