Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

'Peraturan pembasmian hutan EU langkah terancang halang sektor sawit'

Menteri Perladangan dan Komoditi Fadillah Yusof membidas langkah Parlimen Kesatuan Eropah (EU) yang meluluskan Peraturan Pembasmian Hutan EU (Deforestation Regulation, EUDR).

Fadillah yang juga timbalan perdana menteri berkata, langkah itu adalah usaha terancang untuk meningkatkan kos dan halangan terhadap sektor minyak sawit di Malaysia dan akan menjejaskan 450,000 pekebun kecil.

"Tindakan ini akhirnya akan meningkatkan tahap kemiskinan, mengurangkan pendapatan isi rumah dan mendatangkan kesan buruk terhadap masyarakat luar bandar.

"Situasi ini bercanggah dengan komitmen EU terhadap Matlamat Pembangunan Lestari PBB.

"Peraturan EUDR adalah tidak adil dan berfungsi untuk melindungi pasaran minyak bijian tempatan yang kurang efisien dan tidak mampu bersaing dengan eksport minyak sawit Malaysia yang lebih efisien dan produktif," kata Fadillah dalam kenyataan hari ini.

Dia berkata kerajaan sedang berunding dengan Indonesia untuk merangka maklum balas yang wajar berikutan peraturan tersebut.

Fadillah Yusof

Dengan peraturan itu, sebarang produk yang menyumbang kepada penebangan hutan dilarang untuk dieksport ke EU.

Pengeluar hanya boleh mengeksport ke EU jika dapat membuktikan "produk itu bukan berasal dari hutan yang ditebang atau telah membawa kepada degradasi hutan" menerusi “penilaian wajar”, menurut Bernama.

Ia terpakai untuk komoditi seperti arang, koko, kopi, minyak sawit, getah, soya dan kayu dan ternakan lembu serta barangan yang diperbuat, mengandungi atau diberi makan dengan produk tersebut seperti kulit, coklat dan perabot.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata pendirian Malaysia adalah jelas, antaranya pekebun kecil perlu dikecualikan daripada peraturan itu.

"Pengkelasan Malaysia sebagai negaraberisiko tinggi adalah tidak berasas. Malaysia sering memenuhi komitmen terhadap pemeliharaan hutan dan pertanian mampan, yang telah diiktiraf oleh institusi terkemuka dunia seperti Bank Dunia dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB.

"EU juga seharusnya mengiktiraf kelebihan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia ( Malaysian Sustainable Palm Oil - MSPO) yang merupakan pensijilan mampan mandatori, seiring dengan keperluan EUDR," katanya lagi.

Katanya lagi, Malaysia sentiasa terbuka untuk mengadakan libat urus bersama EU dan pada masa sama kesatuan itu perlu komited terhadap penglibatan kerajaan dan industri dari negara pengeluar.