Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

JPJ Perak kutip RM6 juta bidaan plat AMY

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak mengutip hasil bidaan sebanyak RM6 juta bagi nombor pendaftaran siri 'AMY' sepanjang lima hari dibuka untuk bidaan.

Pengarahnya Mohammad Yusoff Abustan berkata bidaan yang dibuka melalui sistem JPJeBID bermula 9 April lepas itu melangkaui plat 'AMG' sebelum ini.

"Jika plat 'AMG' khusus kepada peminat kereta Mercedes-Benz AMG namun plat 'AMY' jauh mengatasi kutipan kerana hampir semua nombor popular telah dibida.

"Jumlah harga bidaan tertinggi ialah RM400,000 untuk 'AMY 1' manakala bagi plat 'AMY 2 - 9' mencecah sehingga RM80,000 bagi setiap nombor terbabit malah setakat ini hanya ada sekitar 16 lagi plat berbaki bagi nombor popular yang masih belum terjual," katanya pada sidang media selepas pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Sambutan Aidilfitri 2023 oleh Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Perak (MKJR) dan JPJ Perak di Mydin Mall Meru Raya di Ipoh hari ini.

Kempen itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Perak dan turut dihadiri Timbalan Pengerusi MKJR Negeri Perak Datuk Nor Sham Rahman dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Hamdan Ali.

Beliau berkata nombor pendaftaran yang berjaya dibida perlu didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat tawaran dikeluarkan JPJ negeri atau cawangan.

Beliau turut memaklumkan, baki nombor pendaftaran yang tidak dibida akan dibuka kepada orang awam mengikut harga minimum ditetapkan.

Mohammad Yusoff berkata sebanyak tiga juta pengguna kenderaan sudah mendaftar melalui aplikasi MyJPJ sejak diperkenalkan awal Februari lepas seluruh negara.

"Saya galakkan dan berharap lebih ramai masyarakat akan memanfaatkan MyJPJ bagi memudahkan mereka.

"MyJPJ ini merupakan usaha pendigitalan yang dilakukan kumpulan teknologi maklumat JPJ dan setakat ini ia berjalan lancar malah saya menyeru orang ramai memuat turun aplikasi ini bagi memudahkan urusan," katanya.

- Bernama