Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Anwar vs Dr M: Beberapa pilihan untuk PM di mahkamah - Hassan

Ahli Parlimen PKR Hassan Karim telah menggariskan beberapa kemungkinan pembelaan untuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam pertikaian undang-undang yang akan berlaku dengan Dr Mahathir Mohamad.

Dia juga menegaskan bahawa dalam kes fitnah, beban pembuktian terletak pada plaintif, dengan kata lain, kepada bekas perdana menteri itu.

Memandangkan Dr Mahathir tidak memfailkan saman itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang itu berkata perkara itu boleh dibincangkan tanpa rasa takut untuk melakukan sub judis (sedang dipertimbangkan oleh mahkamah dan oleh itu tidak boleh diperkatakan di khalayak ramai).

"Mahathir perlu membuktikan di mahkamah bahawa ucapan Anwar yang didakwa memfitnahnya adalah merujuk kepada dirinya Mahathir Mohamad, bukan orang lain.

"Jika ucapan Anwar yang didakwa Mahathir sebagai fitnah, maka fitnah itu dipanggil slander iaitu ucapan Lisan. Seterusnya jika ucapan Lisan itu diterbitkan dalam bentuk tulisan maka fitnah sedemikuan dipanggil libel.

"Seterusnya Mahathir kena membuktikan di hadapan hakim bahawa kata-kata yang diucapkan oleh Anwar secara lisan itu adalah membawa makna fitnah atau bersifat fitnah (defamatory).

"Seterusnya Mahathir kena membuktikan bahawa Anwar mempunyai niat jahat ketika mengeluarkan kata-kata yang dianggap memfitnah itu," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Pembelaan

Hassan yang juga seorang peguam berkata pembelaan Anwar pula termasuk membuktikan kenyataannya adalah fakta.

Anwar dalam kenyataannya itu tidak menyebut nama Mahathir tetapi berkata: "Ada orang sekarang, setelah 22 tahun, campur 22 bulan jadi berkuasa, sekarang mengeluh.

"Melayu hilang segala-galanya? Hilang harta, hilang saham. Bagaimana saja hilang kalau kamu bolot untuk keluarga dan anak-anak kamu," dakwa Anwar.

Kata Hassan lagi, pembelaan kedua jika apa yang disuarakan Anwar itu "untuk kepentingan awam."

"Pembelaan yang ketiga ialah jika apa yang Anwar sebutkan itu merupakan fair comment atau komen yang berpatutan.

"Pembelaan keempat ialah jika tiada niat jahat dalam menyatakan pendapat nya dalam ucapan berkenaan.

"Pembelaan terakhir adalah bahawa ada kemungkinan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri diberi perlindungan atau privilege termasuk perlindungan bersyarat ataupun qualified privilege," katanya.

Gambar fail, Mahathir ketika bersama PH.

Kesimpulannya, Hassan berkata pertempuran undang-undang antara dua musuh politik itu sangat menarik.

"Nampaknya politik di Malaysia Masih lagi dalam lingkungan politik civilised atau pun bertamadun.

"Bila bertentangan dan bersengketa masing-masing tidak angkat senjata seperti apa yang berlaku di Sudan, Afrika sekarang ini.

"Ahli-ahli politik yang berbalah dan bermusuhan di Malaysia masih boleh menyelesaikan sengketa mereka di mahkamah keadilan," jelasnya lagi.

Mahathir dan Anwar berseteru sejak 1998, apabila Mahathir memecat Anwar sebagai timbalan perdana menteri.

Bagaimanapun, ini kali pertama musuh politik itu akan 'bertempur' di mahkamah.

Mahathir, yang telah mengarahkan peguamnya untuk memulakan tindakan undang-undang, berkata dia tidak boleh lagi mengabaikan serangan Anwar kerana pengerusi PH itu kini perdana menteri.

Sebelum ini, Mahathir berkata dia memekakkan telinga kerana menganggap itu sebagai tindakan seseorang yang sangat terdesak mahu menjadi perdana menteri.