Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PM: Pasukan petugas 1MDB teliti semula penyelesaian Goldman Sachs

Pasukan petugas khas 1MDB yang diketuai Johari Abdul Ghani sedang meneliti semula perjanjian penyelesaian Goldman Sachs dengan kerajaan berkaitan 1MDB, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Bercakap kepada pemberita, Anwar berkata dia bersetuju dengan pandangan Johari bahawa perjanjian itu yang menyaksikan institusi perbankan itu hanya membayar kira-kira AS$2.5 bilion kepada Malaysia perlu diteliti semula.

“Johari sedang tumpu dan dalam maklumat awal, nampak dia masih berpandangan harus dirungkai semula perjanjian dengan Goldman Sachs.

“Saya setuju kerana pada awal saya anggap (penyelesaian 1MDB) ini dibuat secara tergopoh-gapah,” katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan karya agung Sayr al-Salikin dan Hikayat Iskandar Zulkarnain di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka di Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, dia ditanya mengenai perkembangan terkini pasukan petugas khas itu selepas dia melantik Johari sebagai pengerusinya.

Johari Abdul Ghani

Sebelum ini, Johari yang merupakan menteri kewangan kedua antara Jun 2016 dan Mei 2018 menggesa kerajaan menyiasat pihak yang terlibat dalam penyelesaian itu dengan alasan bahawa pampasan AS$2.5 bilion adalah terlalu rendah.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga merupakan menteri kewangan berpendirian untuk bertegas dalam menyelamatkan wang rakyat.

“Kerana kita harus memperolehi banyak terutmanya IPIC. Masa mereka dulu, mereka mahu selesai dengan jumlah lebih kecil,” katanya.

Pada masa sama kata ahli parlimen Tambun itu, pasukan petugas khas tersebut akan turut melibatkan wakil-wakil kementerian dan wakil dari Jabatan Peguam Negara yang akan diumumkan kemudian.

Sementara itu, ditanya mengenai respons kerajaan mengenai gesaan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang berhubung penerbitan laporan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) dan Jawatankuasa Reformasi Institusi (IRC), Anwar berkata dia akan meneliti hal itu terlebih dahulu.

“Saya akan teliti sebab prinsip kita dalam kerajaan tentang laporan Sabah kapal terbang yang kemalangan pesawar tu, kita tidak harus simpan (rahsiakan) tapi rakyat harus diberikan maklumat.

“Jadi prinsip tu ada tapi secara khusus saya harus teliti bersama jemaah menteri,” katanya.

Sebelum ini, Lim berkata kedua-dua laporan itu tidak sepatutnya dirahsiakan di bawah Akta Rahsia Rasmi dan disekat dari dibincangkan dan dibahaskan oleh rakyat.

Kenyataan Lim itu dibuat selepas kerajaan memutuskan untuk menyahrahsiakan Laporan Nahas Double Six 1976.