Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pindahkan kanak-kanak dari depoh imigresen: Rancangan k'jaan disokong

Pihak yang menyokong alternatif terhadap penahanan kanak-kanak mengalu-alukan komitmen Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail untuk membawa keluar kanak-kanak di bawah umur dari depoh Jabatan Imigresen ke pusat perlindungan luar.

Menurut pihak berkenaan, tiada kanak-kanak yang patut diletakkan dalam tahanan dan tumpuan perlu diberikan terhadap keadaan yang dihadapi oleh kanak-kanak bawah umur tanpa penjaga - kini berjumlah 679 tahanan di 19 depoh, menurut data kerajaan setakat 12 April.

Seramai 351 kanak-kanak pula ditahan, sama ada oleh kedua-dua ibu bapa atau salah seorang daripada mereka, kebanyakannya dalam proses mendapatkan dokumen perjalanan daripada kedutaan masing-masing sebelum dihantar pulang.

Pesuruhjaya Kanak-Kanak Farah Nini Dusuki (gambar, bawah) berkata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) telah mencadangkan agar Kementerian Dalam Negeri (KDN) bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan lain yang mempunyai kemudahan alternatif untuk dijadikan pusat perlindungan kanak-kanak yang khusus.

“Sebagai contoh, mungkin terdapat rumah kebajikan sedia ada yang tidak digunakan lagi.

"Pesuruhjaya Kanak-Kanak juga memohon kerjasama antara kerajaan, NGO dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) untuk memastikan hak kanak-kanak dilindungi dalam bidang akses seperti penjagaan kesihatan dan pendidikan," katanya pada satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Farah berkata perbincangan Suhakam mengenai isu itu bersama NGO lain, telah bermula pada 2014 dan pada 2021 telah mendapat kelulusan kabinet ketika itu atas cadangan alternatif terhadap penahanan kanak-kanak.

Susulan lawatan ke depoh tahanan Semenyih, Saifuddin semalam berkata kementeriannya sedang dalam peringkat akhir merangka kertas kabinetnya sendiri dengan cadangan susulan kepada rancangan awalnya untuk memindahkan kanak-kanak yang kini dalam tahanan imigresen ke pusat perlindungan luar sementara menunggu dihantar pulang.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif NGO hak kanak-kanak, Suka Society Anderson Selvasegaram berkata perhatian wajar diberikan mengenai layanan adil kepada kanak-kanak bawah umur yang tidak ditemani dan dipisahkan dalam tahanan.

“Sudah tentu, sebaik-baiknya, kita tidak mahu memisahkan kanak-kanak itu daripada ibu bapa jika kesemua mereka ditahan bersama.

"Langkah yang sepatutnya untuk menangani kes sedemikian ialah memindahkan seluruh keluarga mereka daripada tahanan ke tempat perlindungan alternatif," kata Anderson kepada Malaysiakini.

Bagi kanak-kanak yang ditahan tanpa ibu bapa atau penjaga, Anderson (gambar, bawah) berkata pilihan yang perlu dipertimbangkan adalah memindahkan mereka ke pusat jagaan kediaman sementara atau pusat penjagaan anak angkat jangka panjang, sebagai alternatif lain kepada pengusiran.

"Terdapat tempat tinggal untuk kanak-kanak di Malaysia. Terdapat juga NGO yang mengusahakan pengurusan kes dan pusat penjagaan anak angkat.

"Proses dan garis panduan perlu ada supaya ia akan menjadi satu peralihan (dari penahanan imigresen) yang mengambil kira semua hak dan kepentingan terbaik kanak-kanak itu," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, pengasas Buku Jalanan Chow Kit Siti Rahayu Baharin (gambar, bawah) berkata penderma atau syarikat swasta boleh menyumbang kepada penubuhan ekosistem untuk kanak-kanak bawah umur tanpa penjaga yang dibebaskan dari tahanan imigresen.

"Suka atau tidak, sebaik sahaja mereka dibebaskan, anak-anak akan menjadi sebahagian daripada masyarakat kita. Bagaimanakah kita hendak memastikan mereka dapat membina diri mereka sebagai individu yang baik?

“Ada pihak yang mendakwa kanak-kanak ini boleh menjadi ancaman keselamatan negara pada masa hadapan.

"Mereka hanya akan menjadi ancaman jika kita menafikan mereka akses kepada hak asasi mereka, kepada pendidikan, penjagaan kesihatan...jika kita tidak membesarkan mereka menjadi manusia yang baik," kata Rahayu, yang bergiat aktif menangani isu kanak-kanak tanpa kerakyatan.

Mengenai keadaan semasa di depoh imigresen, Rahayu berkata dia pernah mempunyai tiga kanak-kanak dalam jagaannya yang akhirnya ditahan dan lawatannya mendedahkan mereka tidak mendapat akses kepada bahan bacaan termasuk surat khabar.

Pengendalian Malaysia terhadap kanak-kanak dalam tahanan sejak beberapa bulan kebelakangan ini menarik perhatian antarabangsa berikutan serbuan yang diketuai Jabatan Imigresen pelbagai agensi di penempatan pendatang di Nilai Spring, Negeri Sembilan, dengan antara yang ditahan termasuk 36 kanak-kanak.

[Baca berita penuh]