Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kes agensi pekerja asing: Sivakumar belum dipanggil SPRM

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata dia belum dipanggil oleh SPRM berhubung dakwaan rasuah bernilai RM97 juta yang melibatkan sebuah agensi pengambilan pekerja asing.

"Belum. Kalau dipanggil saya akan rela pergi beri keterangan," katanya kepada pemberita selepas acara bersama NGO masyarakat India sempena sambutan perayaan Chithirai Puthandu 2023 di Menara Rakyat, Brickfields, Kuala Lumpur.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas apakah SPRM sudah memanggilnya untuk memberi keterangan berhubung kes tersebut.

SPRM sebelum ini telah menahan tiga individu termasuk setiausaha sulit dan pegawai kananannya bagi membantu siasatan.

Suspek ketiga merupakan seorang ahli perniagaan dari Ipoh, Perak.

Difahamkan siasatan SPRM turut bertumpu kepada individu lain dalam kementerian dan agensi berkaitannya.

"Saya minta semua pihak supaya tidak buat sebarang spekulasi. Tangkapan ini adalah (sebahagian) proses siasatan.

"Jika ada aduan terhadap seseorang, SPRM akan siasat individu tersebut. Sekiranya ada asas, mereka akan dituduh di mahkamah. Kalau tidak akan dibebaskan.

"(Dalam kes ini) siasatan masih dalam peringkat awal. Maka, jangan buat sebarang kesimpulan. Biar siasatan dijalankan," kata Sivakumar.