Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

K'jaan jimat RM100,000 sebulan potong gaji menteri 20 peratus

Kerajaan membuat penjimatan kira-kira RM100,000 sebulan daripada pemotongan gaji sebanyak 20 peratus oleh para menteri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Armizan Mohd Ali berkata ia membawa kepada penjimatan sehingga RM1.2 juta setahun.

"Sejurus pembentukan kerajaan baru, kerajaan perpaduan telah mengambil langkah-langkah awal penjimatan dengan tidak mengambil gaji sebagai perdana menteri seperti mana yang telah diumumkan sendiri oleh perdana menteri.

"Selain itu, jemaah menteri juga bersetuju menerima potongan gaji pokok sebanyak 20 peratus setiap bulan atas keprihatinan kepada rakyat sehingga ekonomi negara pulih.

“Anggaran penjimatan perbelanjaan kerajaan bagi pemotongan 20 peratus gaji pokok menteri (termasuk perdana Menteri dan timbalan perdana menteri) adalah sebanyak RM100,000 sebulan atau RM1.2 juta setahun," katanya dalam jawapan bertulis parlimen.

Jawapan itu untuk soalan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkenaan berapa jumlah penjimatan yang dibuat kerajaan daripada langkah itu dan bagaimana ia dapat dirasai rakyat.

Selepas mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 24 November 2022, Anwar berkata dia tidak akan mengambil gaji. Perkara itu turut disebut ketika berkempen dalam PRU15.

Ia termasuk gajinya sebagai menteri kewangan.

Pada 5 Disember pula, dalam sidang media selepas mesyuarat khas pertama kabinet, dia mengumumkan jemaah menteri juga setuju dengan pemotongan gaji mereka.