Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ismail: Soalan kerakyatan tanpa mengira 'warna kulit' bukan rasis

Ahli Parlimen Maran Ismail Abd Muttalib telah menafikan dia bersikap rasis apabila mengemukakan soalan kepada kerajaan berhubung pengiktafan kewarganegaraan tanpa mengira "warna kulit".

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, Ismail menjelaskan soalannya itu merujuk kepada warga asing yang ingin memohon kewarganegaraan Malaysia.

Ahli parlimen PN itu menjelaskan bukan niatnya untuk menghalang Putrajaya memberikan kerakyatan kepada warga asing, sebaliknya hanya meminta rasional daripada kerajaan berhubung keputusan yang diambil.

Dia yang menjadi ahli parlimen BN sebelum PRU ke-15 berkata, kebimbangannya timbul berikutan kemasukan warga asing yang tinggi di negara ini.

"Sekarang ini ramai orang persoalkan mengapa ada ramai orang Rohingya, ada macam-macam (seperti) Arab, India, Bangladesh, Indonesia, Nepal.

"Tak kisahlah orang dari mana, saya cuma nak tanya.

"Kita tak mahu terlalu bebas untuk menganugerahkan kewarganegaraan ini," katanya.

Ismail menambah kemasukan warga asing yang ramai itu akan turut akan menjejaskan peluang pekerjaan dalam negara.

Enggan ulas isu azan

Nama Ismail menjadi perhatian sesetengah pihak baru-baru ini ekoran soalan yang dikemukannya kepada Kementerian Dalam Negeri, termasuk mengenai kewarganegaraan yang diberi tanpa mengira "warna kulit."

"Minta menteri dalam negeri menyatakan apakah benar kerajaan berhasrat untuk memberi pengiktirafan kepada rakyat yang lahir selepas merdeka tanpa mengira warna kulit.

"Jika benar, apakah rasionalnya,” kata soalan itu.

Kata Ismail hari ini, jika kerakyatan Malaysia diberikan dengan mudah ia boleh mencetuskan kekacauan seperti yang didakwanya berlaku di luar negara.

"Kalau terlalu longgar, contohnya di Perancis, huru-hara sekarang kerana terlalu pemberian kerakyatan longgar untuk pelarian ke negara itu, sampai sekarang kelam kabut.

"Maka saya nak keadaan ini terkawal... biar ada kawalan," katanya lagi.

Ditanya jika peraturan sedia ada sekarang belum memadai, Ismail berkata dia mahu ia diperketatkan lagi.

Dalam soalan parlimen bertarikh 15 Feb 2023, Ismail juga bertanya mengapa kampung baru Cina masih dikekalkan serta adakah fahaman komunisme masih wujud di petempatan tersebut.

Menjelaskan lanjut soalan itu, Ismail berkata, dia mahu mendapatkan penjelasan berdasarkan pemerhatiannya dan untuk tujuan keselamatan.

Mengenai larangan pembesar suara mengumandangkan azan di sebuah "negeri" Ismail mengesahkan kepada Malaysiakini dia memang merujuk kepada Pulau Pinang.

Untuk rekod kerajaan negeri sudah menafikan dakwaan tersebut beberapa tahun lalu. Malah seorang pemimpin PAS Kedah yang bertanggungjawab membuat dakwaan palsu tersebut sudah meminta maaf.

Ditanya mengenai isu tersebut, Ismail enggan mengulas lanjut.

"Tak payahlah, banyak yang dah komen," katanya.