Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Jika soalan menghasut, MP boleh fail usul terhadap Ismail - Lau

Ahli parlimen boleh memfailkan usul ke pejabat Speaker terhadap Ismail Abd Muttalib jika mereka menganggap soalan ahli parlimen PAS itu sebagai menghasut, kata Timbalan Speaker Dewan Rakyat Alice Lau.

“Setakat ini, saya tidak mendengar sebarang usul yang dikemukakan oleh mana-mana ahli parlimen (mengenai perkara ini).

“Ini bermakna tidak ada isu mengenai penghujung parlimen.

“Saya tidak fikir parlimen untuk memutuskan sama ada (Ismail) boleh didakwa (di bawah Akta) atau tidak.

"Bukan kuasa kami untuk membuat keputusan (pendakwaan),” kata Lau kepada Malaysiakini semalam.

Terdahulu, pemimpin DAP P Ramasamy berkata Ismail boleh didakwa di bawah Akta Hasutan atas soalan bertulis parlimen yang dilontarkannya itu.

Perkara 63(2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa penggubal undang-undang tidak akan bertanggungjawab terhadap apa-apa prosiding di mana-mana mahkamah berkenaan dengan apa-apa perkara yang diperkatakan atau apa-apa undi yang diberikan olehnya dalam mana-mana prosiding sama ada di Parlimen atau mana-mana jawatankuasanya.

Bagaimanapun, Perkara 63(4) membantahnya bagi kesalahan yang melibatkan Akta Hasutan 1948 dan undang-undang yang digubal di bawah Perkara 10(4) yang melindungi bahasa kebangsaan, kuota Bumiputera dan raja-raja Melayu.

Gambar fail.

Rabu lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa Ismail telah, antara lain, mengemukakan pertanyaan parlimen meminta kerajaan mewajarkan rasional "mengiktiraf" rakyat yang lahir selepas Malaysia merdeka tanpa mengira "warna kulit".

Ahli parlimen Maran itu juga bertanya mengapa kampung baru Cina masih dikekalkan dan sama ada komunisme masih wujud di tempat tersebut atau tidak.


BACA BERKAITAN: MP PN lontar 'soalan pelik' kepada menteri dalam negeri


Ahli parlimen gabungan PN itu turut bertanya mengapa “sebuah kerajaan negeri” mengeluarkan arahan kepada semua masjid di negeri itu untuk merendahkan pembesar suara azan.

Ismail tidak menyebut negeri mana yang dimaksudkannya itu tetapi maklumat palsu berhubung larangan pembesar suara masjid untuk azan di Pulau Pinang telah tersebar sejak sekurang-kurangnya 2011.

Maklumat salah ini telah dibangkitkan berulang kali selama bertahun-tahun untuk menyerang pentadbiran negeri pimpinan DAP.

Ini walaupun beberapa penjelasan telah dibuat oleh pelbagai pihak, termasuk mufti Pulau Pinang ketika itu Hassan Ahmad, malah disokong mursyidul am PAS Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin.

Ismail dahulunya ahli parlimen Umno yang digugurkan daripada pencalonan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15). Dia merupakan timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan di bawah pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.

Selepas diketepikan Umno pada PRU15, Ismail kemudian menyertai PAS dan bertanding di Maran dalam pilihan raya umum lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Lau menjelaskan proses tapisan soalan parlimen - bermula apabila ahli parlimen mengemukakan pertanyaan mereka kepada setiausaha Dewan Rakyat.

Setiausaha Dewan Rakyat kemudiannya akan bertemu dengan setiap kementerian untuk menghantar soalan yang ditujukan kepada mereka, kata timbalan speaker itu.

“Sekiranya terdapat sebarang soalan yang bertentangan dengan Peraturan Mesyuarat (Dewan Rakyat), kementerian akan memaklumkan kepada parlimen.

"Setiausaha kemudiannya akan memaklumkan kepada speaker mengenai soalan-soalan itu dan speaker akan memutuskan sama ada untuk menolak atau mengekalkannya," tambahnya.

Bagaimanapun, dia berkata soalan yang dikemukakan oleh Ismail tidak dimaklumkan oleh kementerian terbabit.

“Malah kementerian telahpun memberikan jawapan bertulis mereka.

"Bagi mereka, ia tidak sensitif, saya rasa, jadi mereka membenarkan soalan itu ditanya dan dijawab," jelas Lau lagi.

Jika sesuatu soalan parlimen ditolak, sebagaimana yang pernah dialaminya pada masa lalu, maka timbalan pengerusi DAP Sarawak itu berkata pejabat speaker akan memberikan alasan di sebalik penolakan itu dengan memetik peraturan mesyuarat parlimen.

[Baca berita asal]