Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

'Saya mahu jalan sudah' - kata terakhir mangsa nahas Double Six pada isteri

“Saya mahu jalan sudah,” itu kata-kata terakhir mendiang Darius Binion kepada isterinya Jikilin Majitan sebelum terlibat nahas pesawat Sabah Air pada 6 Jun 1976 yang turut mengorbankan beberapa pemimpin Sabah termasuk ketua menteri ketika itu, Fuad Stephens.

Mengimbau kenangan hampir 47 tahun lampau, Jikilin, 88, berkata Darius yang ketika itu pembantu menteri kepada timbalan ketua menteri mengucapkan kata-kata terakhir berkenaan sebelum keluar dari rumah untuk menjalankan tugas di Labuan.

“Ketika kejadian, dua anak saya masih kecil iaitu berusia enam dan 11 tahun,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kota Kinabalu hari ini, selepas menerima laporan rasmi siasatan akhir tragedi yang juga dikenali sebagai “Double Six”, yang disampaikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Benedick.

Dia yang mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana mendedahkan laporan itu turut berkongsi seutas jam tangan, dua bentuk cincin dan penutup pen milik Darius yang masih tersimpan sejak nahas berlaku.

Jikilin berkata sebentuk cincin yang dipakai Darius dan penutup pen sudah dibaikinya kerana kedua-dua barang itu bengkok ketika diserahkan kepadanya seminggu selepas nahas berlaku.

Dalam tragedi itu, pesawat ringan buatan Australia jenis Nomad 9M-ATZ kendalian Sabah Air yang membawa kenamaan dari Labuan, terhempas di daerah Sembulan ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Laporan berkaitan tragedi itu setebal 21 halaman yang telah dinyahklasifikasi dan dikeluarkan semalam, menyebut tiada bukti menunjukkan bahawa terdapat unsur sabotaj, kebakaran atau letupan dalam kejadian tersebut.

Laporan juga merumuskan bahawa kemungkinan nahas disebabkan oleh kedudukan pusat graviti pesawat di luar had buritan kapal yang mengakibatkan kolum kawalan tidak lagi boleh digerakkan ke hadapan, manakala bahagian muncung pesawat terangkat apabila sayapnya melepasi 25 darjah ketika hampir mendarat.

-Bernama