Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

'Jangan tergesa-gesa bentang RUU antilompat parti di DUN Pahang'

Ketua Pembangkang DUN Pahang Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan supaya rang undang-undang (RUU) antilompat parti untuk negeri itu tidak dibentangkan secara tergesa-gesa.

Sebaliknya dia yang merupakan Adun Cheka berkata masih ada perkara yang perlu diperhalusi agar tidak timbul masalah di masa akan datang.

"Taklimat yang diberikan hari ini perlu diperhalusi satu persatu (walaupun) secara umumnya tidak ada beza dengan RUU (antilompat parti) di negeri lain.

"Cuma di Pahang kita ada Adun lantikan lima orang dan dia ada kuasa mengundi dalam dewan sebagaimana Adun yang dipilih (melalui pilihan raya).

"Jadi di situ kita lihat ada keperluan untuk perhalusi (RUU)," katanya dalam sidang media bersama speaker DUN Pahang Mohd Sharkar Shamsudin di Kuantan, hari ini.

Terdahulu Mohd Sharkar bersama Adun Pahang menghadiri sesi taklimat berkaitan RUU perlembagaan (pindaan) 2022 (antilompat parti).

Timbalan Presiden PAS itu juga memberi jaminan semua Adun pembangkang di Pahang akan menyokong RUU itu selepas ia diperhalusi, terutama berkaitan Adun lantikan.

"Sebab dia ada implikasi dari segi undang-undang, contohnya katakanlah kita lantik seorang Adun lantikan daripada NGO, tiba-tiba lepas dilantik dia menyertai parti yang NGO-nya tak setuju.

"RUU belum ada terangkan hal itu, jadi kita perlu jelas dengan perkara tersebut," katanya lagi.

Katanya lagi, lebih baik jika RUU itu dilengkapkan dan diperkemaskan terlebih dahulu sebelum dibentangkan.

Dalam pada itu, Mohd Sharkar memberitahu draf mengenai RUU antilompat parti perlu dihantar ke pejabat speaker DUN sebelum 22 April ini.

"Sidang DUN akan diadakan pada 8 Mei. Jadi kalau nak bentang, draf RUU perlu dihantar ke pejabat saya 14 hari sebelum sidang bermula," katanya.

Setakat ini hanya tujuh negeri yang telah meluluskan undang-undang antilompat parti.

Pulau Pinang adalah negeri paling awal memperkenalkan RUU itu dan diluluskan sidang DUN pada Nov 2012.

Negeri lain yang telah meluluskan pindaan bagi mengekang tindakan Adun melompat parti ialah Sarawak, Perak, Kedah, Selangor, Perlis dan Kelantan.

Kerajaan Terengganu pada Nov tahun lalu pula memaklumkan tidak ada keperluan untuk RUU itu diperkenalkan di negeri terbabit kerana hanya ada wakil rakyat PAS dan Umno di negeri itu.

Di peringkat persekutuan pula, RUU antilompat parti diluluskan Dewan Rakyat pada 28 Julai 2022 sebelum dibentangkan dan diluluskan di Dewan Negara pada 9 Ogos 2022.