Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Peras ugut pelancong China: Kertas siasatan dihantar ke TPR

Kertas siasatan berhubung dakwaan seorang wanita warga China diperas ugut dalam sekatan jalan raya di Bulatan Dato Onn di Kuala Lumpur, baru-baru ini telah dihantar kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) semalam untuk tindakan lanjut.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman berkata setakat ini, tujuh individu diambil keterangan bagi membantu siasatan kes tersebut.

“Hasil siasatan kes berkenaan telah selesai dan kertas siasatan diserahkan kepada TPR.

"Kami sedang menunggu arahan untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana pemerasan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan kempen pemanduan berhemah dan rumah selamat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas lanjut, Yahaya berkata setakat ini polis belum mengambil keterangan pelancong wanita warga China itu kerana dilaporkan telah pulang ke negaranya.

"Wanita itu sudah pulang ke China dan keterangannya belum dirakam,” katanya menambah pihaknya masih menunggu arahan lanjut berhubung perkara tersebut.

Sebelum ini, tular satu rakaman video dimuat naik di akaun TikTok memaparkan seorang wanita sedang mengulas isu berkenaan dalam bahasa Cina bersama sedikit sedutan rakaman kejadian.

Menerusi kapsyen disertakan bersama video itu, anggota polis berkenaan didakwa memeras wang sebanyak RM200 ke atas seorang pelancong wanita dari China kerana tidak membawa pasportnya yang kononnya tertinggal di hotel.

- Bernama