Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Bekas MB Perlis akan didakwa lagi esok

Bekas Menteri Besar Perlis Azlan Man akan didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok atas lima pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram.

Azlan, 64, akan berdepan pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam jemputan media hari ini memaklumkan pihaknya telah mendapat izin untuk mendakwa seorang bekas menteri besar esok.

Semalam, Azlan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar atas lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti seberang laut berjumlah lebih RM1.18 juta antara 2013 dan 2017.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Akram Gharib memohon Mahkamah Sesyen Kangar supaya menetapkan tarikh sebutan kes dalam tempoh sebulan ini memandangkan Azlan turut dijangka berhadapan dengan lima pertuduhan di bawah AMLATFPUAA 2001 (Akta 613) di Kuala Lumpur esok.

Azlan menjadi Adun Pauh pada 2013 hingga 2018 sebelum memenangi kerusi DUN Bintong pada 2018 sehinggalah dia gagal mempertahankan kerusi itu pada PRU ke-15 tahun lalu.

Dia - yang merupakan Menteri Besar Perlis dari 2013 hingga 2022 - turut gagal mempertahankan jawatan Ketua Umno Kangar pada pemilihan parti itu, baru-baru ini.

- Bernama