Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pendidikan politik sudah ada dalam sukatan pelajaran - Fadhlina

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menjelaskan isu politik, hak warganegara dan demokrasi sudah pun dimasukkan dalam sukatan pelajaran sekolah.

Dia berkata demikian ketika ditanya mengenai cadangan Pemuda Umno untuk menganjurkan program di sekolah bagi meningkatkan kesedaran politik dalam kalangan pelajar.

"Kita juga ada memberikan penekanan berkaitan dengan isu-isu kewarganegaraan, isu-isu tentang negara di dalam sukatan pelajaran kita.

"Dan ini juga berlaku secara bertahap dalam sukatan pelajaran sejarah yang juga memberi penekanan kepada beberapa topik penting, asas tentang demokrasi, sistem beraja, perlembagaan, pengajian am dan juga hak-hak sebagai seorang warga Malaysia," kata Fadhlina selepas menghadiri Forum Integriti dan Ikrar Bebas Rasuah Kementerian Pendidikan di Putrajaya hari ini.

Ahli Parlimen Nibong Tebal itu menambah, selain menggunakan sukatan pelajaran sekolah, kementeriannya juga berhasrat mengadakan program di institusi pendidikan untuk meningkatkan kesedaran politik dalam kalangan belia.

Pada 5 April lalu, Ketua Pemuda Umno Dr Muhammad Akmal Saleh berpendapat adalah penting untuk mempersiapkan mereka yang layak mengundi pada pilihan raya umum ke-16 (PRU16).

Tambahnya, dengan adanya Undi18, mereka yang kini berada di Tingkatan 2 dapat menggunakan hak mengundi mereka menjelang PRU16.

Akmal juga menegaskan bahawa program-program itu akan mengikut prosedur yang betul.

Dia bagaimanapun tidak menyentuh secara spesifik program yang dirancang oleh Pemuda Umno.

Sebelum ini, Fadhlina menyatakan tiada sekatan khusus terhadap ahli politik sama ada daripada kerajaan atau pembangkang daripada mengadakan atau menghadiri program di kawasan sekolah.

Bagaimanapun, dia berkata kebenaran perlu diperoleh terlebih dahulu.

Pekeliling yang dikeluarkan kementerian juga menyatakan program atau aktiviti yang bersifat politik, perkauman atau ekstrem tidak dibenarkan di institut pendidikan.

Kempen politik dilarang oleh pekeliling itu.

Paparan logo politik semasa program melibatkan ahli politik juga dilarang.