Bekas MB Perlis didakwa buat tuntutan palsu RM1.2 juta
Bekas menteri besar Perlis Azlan Man didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar hari ini atas tuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM1.185 juta untuk perjalanannya ke United Kingdom (UK).
Pendakwaan membuat lima pendakwaan terhadap Azlan di depan hakim NorSalha Hamzah.
Azlan, 64, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 atas kesalahan mengemukakan dokumen palsu dengan niat untuk memperdaya.
Jika disabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai tuntutan palsu yang dikemukakan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 2013 hingga 2017.
Azlan diwakili peguam Burhanudeen Abdul Wahid manakala Ahmad Akram Gharib menjadi timbalan pendakwa raya.
Dia merupakan Adun Pauh pada 2013 hingga 2018, sebelum memegang kerusi DUN Bintong pada 2018 hingga 2022.
Dia gagal mempertahankan kerusi DUN itu pada PRU lalu.
Selepas PRU 2018, Azlan menjadi menteri besar terakhir yang dilantik selepas BN Perlis enggan memberi sokongan kepadanya.
Adun BN akhirnya akur dan menyertai pentadbiran Azlan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai