Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

MyKad dirampas, pesakit kanser tak boleh dapatkan rawatan

Seorang wanita berusia 65 tahun di Sarawak mendapati kad pengenalannya dirampas selepas cuba menukar alamatnya agar dapat mengundi pada PRU15.

Lina Samuel tekad untuk menunaikan haknya, walaupun bergelut dengan kanser usus. Namun, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Lawas yang dikunjunginya untuk menguruskan perkara itu dengan tidak semena-mena merampas MyKad miliknya.

Apabila Lina meminta penjelasan, pegawai bertugas memberitahu ia merupakan arahan orang atasan. Dia akhirnya tiada pilihan selain menerima apa yang berlaku dan pulang ke rumah dengan berat hati.

"Saya tidak buat laporan polis atau aduan kepada JPN kerana saya susah untuk bercakap (baha Malaysia) dengan baik.

"Saya tahu, pada tahap tertentu, tiada siapa yang faham saya atau akan bantu saya. Keadaan saya juga buat saya sukar untuk pertahan diri," katanya kepada Malaysiakini.

Ketika diwawancara dia menggunakan bahasa Lun Bawang dan menggunakan perkhidmatan penterjemah.

Sejak November 2022, Lina hidup tanpa MyKad dan ia menjadikan kehidupannya lebih sukar. Antaranya temu janjinya dengan doktor terpaksa dibatalkan.

Maka dia terlepas sejumlah sesi rawatan kanser dan dia bimbang keadaannya akan memburuk.

Katanya lagi, dia cuba menunjukkan salinan MyKad kepada hospital tetapi ia tidak diterima.

"Saya faham mengikut undang-undang, mereka (doktor dan jururawat) tak dapat buat apa-apa untuk beri saya rawatan yang sewajarnya.

"Namun mereka baik dan cuba bantu saya dengan apa saja cara yang boleh, seperti mendapatkan penjagaan kesihatan alternatif kepada saya," katanya.

Anggota Parti Bangsa Malaysia (PBM) Agnes Padan cuba membantu Lina menempuhi kesukaran ini.

Agnes yang juga aktivis kesihatan veteran memberitahu Malaysiakini yang dia cuba mendapatkan semula MyKad Lina daripada JPN.

Katanya, dia juga menggunakan media sosial untuk mendapatkan perhatian Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, katanya lagi, usaha itu setakat ini belum membuahkan hasil.

"Selain cuba dapatkan semula MyKad Lina, saya juga berhubung dengan NGO kesihatan dan mereka yang mengendalikan isu kewarganegaraan.

"Dia perlu ke hospital untuk rawatan kanser, tetapi apa yang dia boleh buat bila MyKad dirampas?"

Agnes juga membangkitkan yang hospital di Lawas adalah serupa dengan klinik kesihatan, dengan pakar dan peralatan yang terhad.

Katanya lagi, Lina mendapatkan rawatan di Hospital Miri yang terletak sejauh 312 kilometer dari Lawas.

"Ini bermakna tiga jam perjalanan pergi dan pulang.

"Dengan keadaan kesihatannya, dan hakikat yang dia biasanya pihak hospital akan menolak untuk merawatnya, anda boleh bayangkan betapa melelahkan semua ini," kata Agnes.

Bukan kes terpencil

"Saya hanya minta MyKad balik. Jika ada sebab mengapa ia perlu dirampas, tolong beritahu saya.

"Dalam masa dua minggu, saya dijangka akan jumpa doktor lagi tapi saya tak pasti dapat jumpa atau tidak tanpa kad pengenalan saya," katanya kepada Malaysiakini.

Lina berharap masalah ini akan selesai tak lama lagi kerana dia ingin memberi tumpuan kepada rawatan kanser yang perlu dijalani.

Sementara itu, Agnes berkata apa yang berlaku ke atas Lina bukanlah kes terpencil. Dia mendakwa penduduk di pedalaman Sarawak memang sering diambil kesempatan.

Sebelum ini, agnes turut membantu Mebpung Akup, seorang lagi pesakit kanser di Lawas, yang dinafikan status kerakyatan sejak berusia 12 tahun.

"Tidak adil untuk orang seperti Lina yang dinafikan hak asasi mereka.

"JPN perlu beri penjelasan kepadanya," kata Agnes.

Malaysiakini telah menghubungi JPN untuk mendapatkan respons berkenaan perkara ini.

[Baca berita asal]