Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PM: Tiada konflik kepentingan, pengampunan di bawah kuasa Agong

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyangkal akan wujudnya konflik kepentingan dengan penglibatannya dalam proses permohonan pengampunan Najib Razak.

Anwar berkata ini kerana keputusan akhir sama ada untuk memberikan pengampunan atau tidak kepada bekas perdana menteri itu adalah di bawah bidang kuasa tunggal Yang di-Pertuan Agong.

"Proses permohonan pengampunan dibenarkan dan boleh dibawa sesiapa saja.

"Tentunya kita akan patuh kepada peraturan dan syarat...dan saya akan ada (terliba) dalam proses itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Kita-Untuk-Kita di Shah Alam, Selangor hari ini.

Permohonan pengampunan diraja akan dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dianggotai peguam negara, menteri wilayah persekutuan dan tiga anggota yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Anwar hari ini tidak mendedahkan peranan yang akan dimainkannya. Namun dia adalah menteri yang bertanggungjawab untuk hal ehwal wilayah persekutuan.

Ditanya jika ia boleh menimbulkan konflik kepentingan, pengerusi PH itu berkata tidak kerana proses permohonan perlu dihormati sepenuhnya.

Dia juga berkata terlalu awal untuk mengulas perkara itu dengan lebih lanjut.

"Saya belum lihat apa-apa kecuali resolusi Umno. Pihak dan individu, termasuk mereka yang disabit bersalah, ada hak untuk merayu.

"Saya tidak mahu halang sesiapa dalam hal ini. Ia terperinci dan perlu dipatuhi.

"Keputusan akhir adalah di bawah bidang kuasa Agong sahaja," katanya lagi.

Semalam, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno sebulat suara untuk menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon pengampunan penuh untuk Najib.

Ia selepas permohonan Najib untuk menyemak semula sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta ditolak Mahkamah Persekutuan dengan keputusan 4-1, pada 31 Mac lalu.

Selepas menang dalam PRU 2018, PH turut memohon pengampunan diraja untuk Anwar, yang ketika itu masih menjalani hukuman penjara.

Najib pada masa ini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas disabit bersalah dalam kes rasuah SRC International. Dia juga dihukum denda RM210 juta.

Selain itu, ada beberapa lagi kes melibatkannya yang sedang dibicarakan di mahkamah, iaitu kes rasuah 1MDB melibatkan RM2.28 bilion, kes pengubahan wang haram SRC International RM27 juta dan kes pecah amanah jenayah International Petroleum Investment Company (IPIC) RM6.6 bilion.