Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

MP PN catat kehadiran terbaik sidang pertama Parlimen tahun ini

Meskipun Presiden PAS Abdul Hadi Awang dilihat tidak mengutamakan aspek kadar kehadiran di Dewan Rakyat, ia tidak memberi kesan kepada ahli Parlimen lain dalam Perikatan Nasional (PN).

Berdasarkan rekod kedatangan dalam hansard (transkrip rasmi) sidang pertama Dewan Rakyat tahun ini, ahli Parlimen PN mempunyai peratusan kehadiran terbaik dengan purata 29.2 hari dari 31 hari.

Pada kadar kehadiran 94.2 peratus, ini merupakan peningkatan drastik dalam kehadiran ahli parlimen PN. Kadar itu meningkat daripada 72.3 peratus ketika kali terakhir Malaysiakini membuat semakan serupa September lalu.

Bagi ahli parlimen kerajaan, kadar kedatangan ahli parlimen pada purata 27.4 hari, dengan kadar kehadiran 88.4 peratus.

Perlu dinyatakan bahawa kadar kedatangan wakil rakyat pembangkang ke Dewan Rakyat secara umumnya akan lebih baik jika dibandingkan dengan ahli parlimen di pihak kerajaan kerana anggota cabang eksekutif lazimnya tidak hadir melainkan mereka dikehendaki menjawab soalan dalam sidang.

Rekod kedatangan Dewan Rakyat mula dicatat dalam hansard pada Julai 2021.

Bagaimanapun, jumlah kehadiran yang dicatat tidak mengambil kira sama ada ahli parlimen itu berada di Dewan Rakyat sepanjang hari atau hanya satu minit.

Kehadiran diambil secara berkala oleh pegawai di Parlimen dan apabila ahli-ahli parlimen mendaftar masuk ke komputer masing-masing di meja mereka.

Dalam gabungan PN, kehadiran ahli Parlimen PAS mengatasi kadar kedatangan rakan gabungan mereka iaitu Bersatu.

Sementara itu, terdapat 97 Ahli Parlimen dengan kehadiran penuh.

Ahli Parlimen PAS mempunyai bilangan kehadiran penuh paling ramai (31) - lebih dua kali ganda daripada ahli parlimen Bersatu (11).

Ini bermakna 72.1 peratus ahli parlimen PAS mempunyai kehadiran penuh, manakala DAP berada di tempat kedua (52.5 peratus).

Parti dengan kehadiran terburuk ialah MIC. Ahli Parlimen tunggal mereka mempunyai kehadiran yang lemah iaitu sebanyak 15 hari dari 31 hari atau 48.4 peratus.

Sebaliknya, Muda - juga dengan hanya seorang ahli Parlimen - adalah satu-satunya parti dengan kadar kehadiran 100 peratus.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hanya hadir 17 dari 31 hari Dewan Rakyat bersidang. Perlu dinyatakan bahawa dia terlibat dalam banyak lawatan luar negara sejak beberapa minggu lalu.

Bagaimanapun, Anwar hanya terlepas satu sesi soal jawab perdana menteri (PMQ) iaitu pada 28 Feb. Pejabat Perdana Menteri tidak menjawab permintaan untuk mengulas lanjut berkenaan perkara itu.

Ketua pembangkang Hamzah Zainudin hanya hadir 19 dari 31 hari sidang. Pada kadar kehadiran 61.3 peratus, ia jauh lebih rendah berbanding kehadiran 92.86 peratus yang dicapai oleh Anwar ketika memegang jawatan sama tahun lalu.

Kadar 92.86 peratus itu disifatkan oleh pemerhati MyMP sebagai contoh yang baik.

Difahamkan, Hamzah cuti sakit dari 9 Mac hingga 22 Mac.

Malangnya bagi Anwar, kadar kehadirannya kali ini meletakkannya dalam kalangan 10 kehadiran terendah. Turut tersenarai adalah Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi (15 hari), Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow (14) dan Hadi (12).

Alexander Nanta Linggi dari GPS hanya menghadiri 11 daripada 31 hari sidang Dewan Rakyat. Dia mengambil cuti sakit sejak 14 Mac kerana menjalani pembedahan penggantian lutut.

Di kedudukan paling bawah dalam rekod kedatangan ke Dewan Rakyat ialah Ahli Parlimen Putatan Shahelmey Yahya (10 daripada 31). Dia yang juga timbalan ketua menteri III tidak menjawab pertanyaan berkenaan perkara itu.

Pengerusi PN dan juga presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, yang menduduki tempat terakhir dalam semakan lepas, mencatatkan antara kehadiran terbaik iaitu sebanyak 26 dari 31 hari.