Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kendalikan 'pelanggaran etika' badan kehakiman secara dalaman - bekas hakim

Dua bekas hakim menegaskan tuduhan konflik kepentingan yang melibatkan badan kehakiman harus disiasat dan dikendalikan secara dalaman.

Bekas hakim Mahkamah Rayuan Hishamudin Md Yunus (gambar judul) dan Mah Weng Kwai juga berkata SPRM hanya diberi kuasa untuk menyiasat kes berkaitan rasuah di bawah Akta SPRM.

Ini selepas kumpulan pengamal undang-undang membidas siasatan SPRM terhadap Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali (gambar, bawah) yang mensabitkan bekas perdana menteri Najib Razak atas kesalahan rasuah pada 2020.

Bekas presiden Badan Peguam Malaysia semalam menggelar siasatan itu sebagai "serangan" terhadap badan kehakiman.

Hishamudin dan Mah berkata terdapat mekanisme di dalam badan kehakiman untuk meneliti dakwaan konflik kepentingan terhadap hakim.

“Menurut peraturan, sebarang aduan mengenai pelanggaran Kod Etika oleh hakim Mahkamah Tinggi mesti dirujuk kepada ketua hakim negara. Jika ketua hakim negara mendapati tiada merit dalam aduan itu, dia akan menolak aduan itu selepas berunding dengan Hakim Besar Malaya atau Hakim Besar Sabah dan Sarawak.

“Sebaliknya, jika ketua hakim negara mendapati terdapat merit dalam aduan, maka beliau akan merujuk aduan itu kepada Jawatankuasa Etika Kehakiman.

“Tetapi jika aduan itu bersifat serius yang mewajibkan penyingkiran hakim, jika didapati bersalah, maka ketua hakim negara mesti merujuk aduan itu kepada tribunal yang dilantik di bawah Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.

Gambar fail, bekas hakim Mahkamah Rayuan Mah Weng Kwai.

“Sekiranya aduan hanya dirujuk kepada Jawatankuasa Etika Hakim, jawatankuasa akan merujuk aduan kepada hakim berkenaan yang akan diberi hak untuk membuat representasi, kedua-duanya secara bertulis dan lisan. Setelah mendengar representasi hakim, jika jawatankuasa mendapati hakim tidak bersalah atas aduan itu, jawatankuasa mesti membebaskan hakim.

"Sebaliknya, jika jawatankuasa mendapati hakim bersalah atas aduan itu, jawatankuasa akan mengenakan sekatan, seperti teguran atau penggantungan," kata Hishamudin ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Mah, yang juga salah seorang yang menandatangani kenyataan semalam selaku bekas presiden Badan Peguam Malaysia, mengulangi pendiriannya bahawa apa-apa perkara berkaitan dengan pelanggaran etika harus ditangani oleh jawatankuasa etika kehakiman.

“Sudah tentu ia bukan dalam bidang kuasa SPRM kerana mereka boleh menyiasat dakwaan rasuah… tetapi apabila ia melibatkan etika, ini bidang kuasa jawatankuasa etika kehakiman menyelesaikannya,” katanya.

Tribunal lantikan Agong

Hishamudin juga berkata jawatankuasa etika itu bagi menangani dakwaan yang tidak begitu serius, tetapi untuk dakwaan yang serius, hakim akan dirujuk ke tribunal.

Anggota tribunal akan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan mungkin terdiri daripada sama ada hakim yang sedang berkhidmat atau bekas hakim atau hakim luar negara, tambahnya.

Hanya terdapat dua kes hakim dirujuk ke tribunal dalam sejarah Malaysia, iaitu semasa krisis perlembagaan 1988, katanya.

Pada masa itu, ketua hakim negara Alllahyarham Salleh Abas (gambar, atas) dan lima hakim lain dihadapkan ke dua tribunal.

Salleh akhirnya dilucutkan jawatannya oleh tribunal itu manakala tiga hakim lain kemudiannya dibebaskan dan meneruskan tugas mereka.

Hishamudin juga menegaskan bahawa Nazlan telah dibebaskan di mahkamah sebanyak dua kali.

Kali pertama sewaktu Mahkamah Persekutuan yang terdiri daripada sidang lima hakim yang menolak rayuan Najib. Dalam menolak rayuan itu, mahkamah memutuskan bahawa tiada merit dalam dakwaan SPRM terhadap Nazlan.

Kali kedua, kata Hishamudin dalam perbicaraan permohonan semakan semula oleh Najib dalam kes SRC International baru-baru ini, dengan majoriti hakim berkata tiada merit dalam dakwaan terhadap Nazlan.

"Jadi pada dua kesempatan, hakim Nazlan telah dibebaskan, jadi saya fikir perkara itu harus dihentikan," katanya.

Secara berasingan, Hishamudin berkata panel tujuh orang yang diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat di Mahkamah Persekutuan juga memutuskan bahawa siasatan SPRM terhadap Nazlan dilakukan tanpa mengikut protokol.

Status SPRM 'sangat tinggi'

Sementara itu, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata SPRM boleh menyiasat sesiapa sahaja di Malaysia yang tertakluk di bawah undang-undang.

“SPRM ditubuhkan di bawah suruhanjaya diraja dan oleh itu badan itu sendiri mempunyai status dan kedudukan yang sangat tinggi dan tidak ada undang-undang sama ada di bawah Perlembagaan atau di bawah undang-undang SPRM sendiri yang mengehadkan kuasa SPRM untuk menyiasat sesiapa sahaja.

“Jadi dalam keadaan itu, hujah mengatakan SPRM melangkaui batasan bidang kuasanya nampaknya tidak boleh diterima.

“Bagi saya, SPRM mempunyai kuasa untuk menyiasat sesiapa saja di Malaysia yang tertakluk di bawah undang-undang dan menyerahkan hasil siasatan kepada peguam negara,” kata Wan Junaidi (gambar, atas) kepada Malaysiakini.

Dia berkata isu protokol yang dibangkitkan dalam keputusan Mahkamah Persekutuan hanyalah ketertiban dan adab untuk menyiasat hakim.

“Bagi saya, protokol adalah soal prosedur yang betul untuk diguna pakai, ia bukan prosedur undang-undang, oleh itu ia tidak membatalkan keputusan mana-mana badan penyiasat," katanya.

Wan Junaidi menegaskan bahawa sesiapa sahaja dalam mana-mana agensi boleh disiasat tidak kira sama ada mereka dalam badan kehakiman, eksekutif atau penggubal undang-undang.

"Jika tidak, kami meletakkan badan kehakiman terlalu tinggi di atas sehingga tidak boleh disentuh oleh manusia," katanya.

Wan Junaidi juga menjelaskan bahawa pelanggaran etika dan pelanggaran undang-undang adalah isu yang berasingan, jadi SPRM harus dibenarkan untuk menyiasat sebarang dakwaan.

jika hasil siasatan mendedahkan terdapat pelanggaran undang-undang, maka perkara itu boleh dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut, katanya.

Siasatan SPRM terhadap Nazlan kembali menjadi tumpuan baru-baru ini selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Reformasi Undang-undang dan Institusi) Azalina Othman Said mengesahkan dalam surat kepada peguam Najib bahawa SPRM mendapati Nazlan melanggar Kod Etika Hakim dan mempunyai konflik kepentingan semasa mempengerusikan kes SRC International.

Bagaimanapun, Azalina kemudiannya mengesahkan pendirian kerajaan bahawa perkara itu adalah di bawah kuasa badan kehakiman.

Nazlan ialah hakim Mahkamah Tinggi pada 2020 yang mensabitkan kesalahan Najib dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kerana rasuah, salah guna kuasa, dan pengubahan wang haram berhubung kes SRC International.

Keputusan itu telah dikekalkan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Nazlan dinaikkan pangkat menjadi hakim Mahkamah Rayuan tahun lepas.

[Baca berita asal]