Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Hakim tarik diri dengar kes saman Hilman atas dakwaan rogol

Hakim Mahkamah Sesyen Lailatul Zuraida Harun telah menarik diri daripada mendengar kes saman fitnah Adun Gombak Muhammad Hilman Idham terhadap seorang peguam berhubung dakwaan rogol membabitkan dua anggota Bersatu.

Hakim mahkamah rendah di Kuala Lumpur petang tadi membenarkan permohonan defendan Asheeq Ali Sethi Ali supaya dia menarik diri daripada tindakan sivil, yang melibatkan tuntutan yang dibangkitkan oleh anak guamnya yang didakwa mangsa rogol.

Peguam M Pravin yang mewakili Asheeq (gambar, bawah) mengesahkan kepada Malaysiakini mengenai keputusan itu, berkata mahkamah tidak membuat sebarang perintah tentang kos.

Dengan keputusan hari ini, tindakan sivil akan dipindahkan kepada hakim Mahkamah Sesyen baru untuk ditentukan kemudian.

Menurut salinan permohonan penarikan diri yang dilihat oleh Malaysiakini, Asheeq meminta penarikan itu dibuat atas alasan "bahaya berat sebelah" di pihak Lailatul.

Asheeq berhujah ini berikutan hakim sebelum ini membuat "prasangka" apabila membenarkan permohonan Hilman yang juga Adun Bersatu untuk menghapuskan sebahagian besar pernyataan pembelaan defendan terhadap tuntutan mahkamah.

Peguam itu menegaskan bahawa Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 9 Nov tahun lepas membenarkan rayuannya untuk membatalkan perintah terhadap pembelaannya, yang antara lain melibatkan pembelaan justifikasi di mana dia bersedia untuk membuktikan kata-katanya di mahkamah.

Pada 12 Dis 2021, peguam Hilman daripada firma guaman Hafiz Ruzaini & Co memfailkan tuntutan mahkamah berhubung dakwaan bahawa Asheeq membuat kenyataan berunsur fitnah semasa taklimat media yang diadakan di hadapan ibu pejabat polis Bukit Aman, pada 11 Ogos awal tahun itu.

Pada tarikh itu, media melaporkan Asheeq mendakwa polis masih belum bertindak terhadap laporan anak guamnya yang mendakwa dia dirogol oleh dua lelaki yang dikatakan mempunyai kaitan dengan Hilman, yang merupakan ketua Pemuda Bersatu Gombak.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa wanita berkenaan menyerahkan bukti yang dikatakan itu kepada polis berhubung kejadian yang didakwa.

Bagaimanapun kemudiannya, seorang pembantu Hilman didakwa di mahkamah jenayah atas dakwaan merogol wanita itu, dengan perbicaraan masih diteruskan.

[Baca berita asal]