Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Anwar: Saya tak nak gaduh, Dr M minta bukti saya bagi

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata dia akan memberikan bukti kepada Dr Mahathir Mohamad berhubung dakwaan bekas perdana menteri itu telah mengumpul kekayaan untuk memperkayakan dirinya ketika berkuasa atau berdepan tindakan undang-undang.

Ini selepas Mahathir menyampaikan surat tuntutan undang-undang kepada Anwar pada 27 Mac meminta Anwar membuktikan dakwaannya itu.

"Saya tak nak gaduh, dia minta bukti saya bagi bukti no problem," kata Anwar pada majlis dialog bersama pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam hari ini.

Dr Mahathir merujuk kepada kenyataan Anwar dalam ucapan dasar pada kongres nasional khas PKR di Shah Alam 18 Mac lalu.

Bagaimanapun, Anwar tidak menyebut nama Mahathir tetapi merujuk tempoh pemerintahannya berkata: "Ada orang sekarang, setelah 22 tahun, campur 22 bulan jadi berkuasa, sekarang mengeluh."

"Melayu hilang segala-galanya? Hilang harta, hilang saham. Bagaimana saja hilang kalau kamu bolot untuk keluarga dan anak-anak kamu?

"Sekarang bila hilang kuasa, bicara soal rakyat. Jangan perbodohkan rakyat. Rakyat harus bangkit mempertahankan hak mereka.

"Kumpulkan.. tonton... Tan Sri-Tan Sri, tauke-tauke besar, berapa kerap orang sekarang merencana untuk mengugat dan menggunakan sentimen kaum, mengajak orang-orang Melayu membenci kepada kaum-kaum lain dan menyatakan kuasa hilang," dakwa Anwar pada 18 Mac lalu.

Anwar juga ketika berucap pada masa itu juga mendakwa orang berkenaan tidak membayar cukai dan memindahkan kekayaannya ke luar negara.

Mahathir mendakwa ini rujukan yang jelas terhadap dirinya kerana laporan media mengenai ucapan itu menyebut namanya.

Anwar mempunyai masa sehingga 17 April untuk menjawab surat undang-undang Mahathir selepas peguam peguamnya meminta lanjutan. Tarikh akhir yang ditetapkan sebelum ini pada 3 April.

Mahathir, yang akan mencecah usia 98 tahun tahun ini, terus mengkritik Anwar, mendakwa perdana menteri berada di belakang pembatalan perhimpunan hak Melayu.

Pada pilihan raya umum November lalu, Mahathir kalah teruk di kerusi parlimen Langkawi dan hilang wang pertaruhan di bekas kubu kuatnya di Kedah.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan Anwar pada hari ini turut membidas Mahathir, dengan menyatakan bahawa walaupun tadbir urus Mahathir mempunyai kekuatannya namun terdapat juga kelemahannya.

Dia tidak memperincikan kelemahan itu tetapi merujuk komen Mahathir pada 2018 yang melabel orang Melayu "malas".

Anwar menyoal bagaimana orang Melayu satu bangsa yang boleh bersikap malas sedangkan dari segi sejarah merekalah yang menjadikan Melaka sebagai negeri kosmopolitan dan hab perdagangan yang terkenal.