Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mansuh Auku? Siswa kesal dialog KPT, menteri tak jawab soalan

Sesi dialog Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang menampilkan menterinya Mohamed Khaled Nordin hari ini sepatutnya menjadi saluran untuk pelajar universiti, ahli akademik dan naib canselor menyuarakan serta mendapatkan jawapan berhubung Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).

Bagaimanapun, ramai siswa meninggalkan sesi dua jam itu dengan perasaan kecewa, mendakwa jawapan kementerian sebenarnya tidak menjawab pertanyaan mereka.

Timbalan Setiausaha Agung Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM), Dhurgesswaran Veeran (gambar, bawah) antara yang kesal dengan maklum balas KPT.

“Mereka (kementerian) tidak menjawab soalan, mereka sudah menyediakan jawapan mereka. Mereka hanya mengadakan sesi itu kerana mahukan sokongan daripada universiti (untuk mengekalkan Auku),” dakwanya.

Dhurgesswaran, 23, berkata, jelas sekali kementerian tidak mengendahkan tuntutan ramai pihak untuk memansuhkan Auku, walaupun mengetahui Akta itu digubal untuk "menindas kebebasan" mahasiswa.

"Mereka tahu sebabnya, tetapi mereka masih tidak berminat untuk memansuhkannya," katanya.

Begitu juga, Presiden Angkatan Mahasiswa UM Nur Nazirah Abdullah (gambar, bawah) menyifatkan sesi hari ini sebagai "tidak berguna" kerana kementerian tidak memberikan penjelasan mengenai perkara yang dibangkitkan.

“Daripada pihak kami, kami ingin tahu apakah pendirian kabinet (mengenai Auku) dan untuk menyampaikan kepada mereka pendapat pelajar.

“Kami ingin tahu mengapa Auku tidak boleh dimansuhkan dan digantikan dengan akta baru,” katanya.

Nazirah merujuk penjelasan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Mohammad Yusof Apdal sebelum ini bahawa memansuhkan Auku hanya akan membuatkan akta baru yang digubal menggunakan semula banyak peruntukan sedia ada dalam Auku.

Namun, kata Nazirah banyak undang-undang yang diperkenalkan baru-baru ini juga mempunyai asal usul peruntukan daripada akta terdahulu yang telah dimansuhkan.

Sementara itu, Lai Yue Yi, 22, menghargai kementerian mengadakan sesi dialog itu, berkata ia peluang yang baik untuk pelajar menyoal terus menteri.

Bagaimanapun, Lai (gambar, atas) berkata kebanyakan soalan yang diajukan kepada pihak berkepentingan hari ini diketepikan dan tiada jawapan langsung diberikan.

“Saya rasa (jawapan) mereka berpusing-pusing dan tidak memberikan jawapan yang tepat tentang apa yang saya tanyakan.

“Saya tanya mengenai jawatankuasa pilihan raya kampus (CEC), mereka kata semua pilihan raya kampus IPTA diadakan oleh pelajar dan mereka kata (pilihan raya kampus) UM adalah yang pertama bebas tetapi UM pun dikawal oleh Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Malaysia (LPU).

"(CEC) bukan entiti bebas sepenuhnya, jadi ini mengelirukan," katanya, sambil menambah bahawa dialog KPT itu sepatutnya berlaku tanpa kehadiran naib canselor universiti.

Syafiq Shary, 20, dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berkata Kementerian Pengajian Tinggi cuma memberikan jawapan yang 'selamat' terhadap soalan daripada siswa.

"Saya setuju dengan sesi sebegini. Tetapi apabila mereka menjawab soalan daripada speaker, pengacara majlis, mereka tidak menjawab secara menyeluruh.

"Agak playsafe dan tidak menjawab soalan dengan baik. Menyentuh permukaan sahaja, tidak menjelaskan dengan mendalam," katanya.

Siswi Universiti Utara Malaysia (UUM), Halimatus Saadiah, 23 (gambar, bawah) pula khuatir kementerian tidak bertindak balas secara langsung hanya demi menjaga reputasinya.

"Ada concerns yang KPT perlu dengar daripada kami, apa garisan kuasa KPT kepada mahasiswa untuk kita bezakan, sejauh mana kami boleh pergi," katanya.

Sementara itu, pemerhatian Malaysiakini mendapati kebanyakan soalan siswa tidak dijawab oleh menteri pengajian tinggi tetapi sebaliknya dijawab oleh Ketua Pengarah Kementerian Pengajian Tinggi Husaini Omar.

Auku diperkenalkan pada tahun 1971 oleh menteri pendidikan ketika itu Dr Mahathir Mohamad dan telah digubal untuk mengawal pergerakan mahasiswa.

Akta itu telah melalui tujuh pindaan.

Pindaan terbaru pada 2018 - ironinya di bawah kerajaan pimpinan Mahathir - memberikan lebih banyak kebebasan kepada mahasiswa untuk menyertai politik, baik di dalam mahupun di luar kampus.

Memansuhkan Auku merupakan salah satu janji manifesto PH pada pilihan raya umum lalu.

Bagaimanapun, kerajaan sekarang adalah gabungan yang merangkumi BN – yang pernah menjadi penyokong Auku pada masa lalu.

Bagaimanapun, menteri pengajian tinggi Khaled sebelum ini berkata kerajaan tidak bercadang untuk memansuhkannya.

Semasa ucapan perasmiannya hari ini, Khaled berkata terdapat tiga pandangan berbeza mengenai masa depan Auku – bahawa Akta itu harus dikekalkan dengan beberapa pindaan dan penambahbaikan; bahawa Auku harus dikekalkan dan dinamakan semula dengan pindaan; atau Auku digantikan dengan akta baru sama sekali.

Bagaimanapun selepas majlis dialog KPT itu, Khaled berkata kebanyakan pandangan cenderung untuk meminda Auku saja.

Dalam sidang media kemudiannya, menteri itu berkata bahawa pindaan berkenaan berkemungkinan akan dibentangkan di Dewan Rakyat tahun ini, dengan draf rang undang-undangnya terlebih dahulu akan dihantar kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk kelulusan pada pertengahan Jun.

Tanpa memperincikan lebih terperinci tentang pindaan yang akan dibuat, Khaled berkata perubahan itu akan membolehkan mahasiswa mendapat kebebasan sepenuhnya dalam menyertai aktiviti di dalam dan di luar kampus.