Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KPT jangka bentang RUU pindaan Auku hujung tahun ini

Rang undang-undang berhubung cadangan pindaan Seksyen 15 dan 16 di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 yang akan memberikan kebebasan kepada mahasiswa dalam beberapa perkara termasuk aktiviti berpersatuan, dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.

Bercakap kepada media selepas Sesi Townhall Auku di Putrajaya hari ini, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata rang undang-undang Auku 1971 itu akan dihantar ke Jabatan Peguam Negara (AGC) pertengahan Jun ini.

"(Pindaan rang undang-undang) sudah dikenal pasti seksyen-seksyennya dan sedang dimurnikan ayat-ayatnya.

"Kementerian sedang dalam proses memuktamadkan fasal-fasal yang melibatkan pelajar dan akan menambahkan lagi ruang dan kebebasannya untuk bergerak sepanjang masa sebagai mahasiswa, ini melibatkan soal kegiatan yang mereka jayakan dan juga soal tanggungjawab dan peluang mereka untuk mengendalikan sendiri akaun mereka," katanya.

Mohamed Khaled berkata kementerian mengambil maklum keluhan mahasiswa yang tidak bebas untuk membuat aktiviti di dalam kampus kerana perlu merujuk dan mendapatkan kelulusan daripada pihak universiti selain berdepan dengan kekangan kewangan untuk menganjurkan sebarang aktiviti.

"Memandangkan ini perkara yang kita percaya boleh atasi soal perasaan mahasiswa yang tersekat, kita akan pinda perkara ini lebih-lebih lagi kita berpendapat ini juga satu cara kita bangunkan kematangan dan kedewasaan pelajar-pelajar, bila dia bertanggungjawab, dia sendiri mengurus dan menjaga akaun dan dia sendiri menguruskan jenis aktiviti.

"Jadi sebab itu pindaan terhadap perkara ini (dibuat)," katanya.

Terdahulu, semasa berucap di hadapan 500 mahasiswa dan pegawai akademik dari 20 universiti awam, Mohamed Khaled berkata sekiranya pindaan terhadap Auku berjaya dilaksanakan kerajaan juga akan meminda Akta Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Langkah itu bagi memastikan mahasiswa UiTM yang tidak tertakluk kepada Auku turut mendapat kebebasan yang sama seperti pelajar di universiti awam yang lain.

“UiTM tidak tertakluk kepada Auku tetapi fasal yang ada mirip dengan Auku jadi kita akan pinda juga supaya tiada yang boleh mengatakan pelajar UiTM terkebelakang daripada universiti lain sebab akta universiti mereka tidak dipinda,” katanya.

Auku ialah akta untuk membuat peruntukan bagi menubuhkan, menyelenggara dan mentadbir universiti dan kolej universiti dan bagi perkara lain yang berkenaan dengannya.

Hanya Seksyen 15 dan 16 di bawah Auku yang secara khusus memperuntukkan aspek mahasiswa, manakala selainnya mengenai kuasa menteri dan pentadbiran universiti secara umum termasuklah cara pengurusan hal ehwal kewangan universiti.

Pada 10 Dis 2018, Dewan Rakyat meluluskan pindaan Auku membabitkan pemansuhan Seksyen 15(2)(c) yang menghalang mahasiswa terbabit dalam kegiatan politik di kampus, sekali gus memberi lebih banyak ruang dan kebebasan dalam bersuara serta berpolitik.

Pada 19 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan memberi jaminan akan menghapuskan peruntukan dalam Auku yang menyekat kebebasan mahasiswa dan pensyarah.

- Bernama