Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pendekkan tempoh haji tak bantu kurangkan kos - menteri

Cadangan untuk memendekkan tempoh mengerjakan haji terutamanya bagi jemaah muassasah tidak dapat membantu Tabung Haji (TH) mengurangkan kos bagi menunaikan ibadah berkenaan, malah hanya akan menaikkan kos.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata dengan memendekkan tempoh, ia akan menyebabkan jemaah haji untuk menginap di Makkah dan Madinah semasa waktu kemuncak haji, sekali gus menyumbang kepada kenaikan kos.

“Bagi pakej jemaah haji muassasah yang dikendalikan oleh Lembaga Tabung Haji, tempoh mereka ada di tanah suci adalah antara 40 hingga 45 hari.Tempoh ini (turut) mengambil kira jadual penerbangan carter yang diluluskan oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

“Secara amnya dengan memendekkan tempoh pakej muassasah, ini bermakna jemaah haji yang akan ke Arab Saudi akan mula menginap di Makkah dan Madinah pada waktu puncak iaitu harga tiket penerbangan dan sewaan bangunan adalah amat tinggi,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Ia bagi menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya yang bertanya sama ada kerajaan bersedia mempertimbangkan cadangan untuk mengkaji semula tempoh ibadah haji bagi mengurangkang kos menunaikan ibadah itu.

Menurut Mohd Na’im TH telah berusaha untuk mengawal kenaikan kos ini dengan perjanjian kontrak jangka panjang yang telah dimeterai bersama beberapa pihak di Arab Saudi membabitkan penerbangan, penginapan, sajian makanan dan pelbagai perkhidmatan lain.

Katanya dengan cara itu harga dapat ditetapkan untuk satu tempoh masa dan tidak dinaikkan setiap tahun.

Sebelum ini, Pengarah Urusan Kumpulan Tabung Haji, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata kos menunaikan haji bagi seorang jemaah muassasah meningkat kepada RM30,850 tahun ini berbanding RM28,623 tahun lepas.

- Bernama