Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KM: Nyah klasifikasi laporan penuh nahas udara 1976 bawa kelegaan

Keputusan kabinet kerajaan persekutuan untuk menyahklasifikasi laporan akhir siasatan nahas pesawat Sabah Air yang mengorbankan Ketua Menteri Fuad Stephens bersama beberapa menteri Kabinet negeri pada 1976, merupakan satu kelegaan, kata Hajiji Noor.

Ketua menteri Sabah itu berkata langkah itu memberikan kelegaan kerana ia akan merungkaikan apakah sebenarnya terjadi pada hari yang menyaksikan 11 orang terkorban dalam nahas itu.

“Satu kelegaan bukan sahaja kepada keluarga mereka yang terkorban dalam nahas pesawat itu tetapi juga kepada rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hajiji berkata kerajaan negeri akan menerima dapatan di dalam laporan nahas itu yang dikenali sebagai “Double Six” kerana ia berlaku pada 6 Jun, 1976 dengan hati yang terbuka.

Hari ini Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata laporan itu telah dinyahklasifikasikan menurut Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) dan akan didedahkan kepada umum pada minggu hadapan.

Fuad Stephens

Sementara itu Ketua Penerangan Warisan Azis Jamman berkata parti itu berterima kasih dengan kerajaan persekutuan kerana bersetuju untuk menyahklasifikasikan laporan itu dan meredakan persoalan yang berlegar dalam kalangan rakyat Sabah mengenai tragedi itu.

Dia berkata pengumuman Anwar mengenai laporan itu hari ini adalah sesuatu yang dialu-alukan kebanyakan warga Sabah yang menanti laporan itu berdekad-dekad lamanya dan akan menghentikan persoalan juga spekulasi tentang nahas Sabah Air itu.

“Ramai rakyat Sabah masih ingat hari tragedi berkenaan dan sejak itu mereka telah bertanya apakah punca nahas tersebut. Persoalan dan spekulasi lazimnya muncul semasa hari memperingati mereka yang terkorban dalam nahas itu yang diadakan di Sembulan," katanya.

-Bernama