Sanusi nak teropong Lima 2023 dari tepi pagar, boleh makan laksa
Menteri Besar Kedah Sanusi Muhammad Md Nor berkata dia tetap akan hadir acara kerajaan persekutuan, walaupun mendakwa dirinya disekat daripada menghadiri majlis tersebut.
Ini termasuk Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (Lima 2023) pada bulan depan.
Sanusi, yang merupakan Adun Jeneri berseloroh dia akan duduk di tepi pagar landasan lapangan terbang Langkawi sambil makan laksa sajian gerai penjaja berhampiran untuk menonton pameran itu.
"Saya akan bawa teropong pergi duduk di tepi pagar airport.
"Lagipun tepi pagar itu pun, ada orang jual laksa, boleh makan-makan, sebagai pengunjung takkan lah depa nak halau.
"Saya ada kata kat pegawai saya kalau kita tak dijemput kita beli meja lipat seorang sebiji, teropong seorang satu, kita dok tepi pagar kita tengok kapal navy, kapal terbang," katanya pada sidang media yang disiarkan di Facebook selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di Alor Setar hari ini.
Pun begitu, Sanusi berkata difahamkan dia akan dijemput ke acara tersebut menurut jawapan yang diberikan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari di Dewan Negara sebelum ini.
"Saya ni Pengerusi Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) dan saya menteri besar, banyak lagi jawatan saya yang berkaitan, jadi kalau saya tak dijemput saya tetap akan hadir.
"Pegawai saya dah tempah hotel berbulan-bulan lalu, kenderaan, motosikal polis semua dah ada," katanya.
Bagaimanapun, Sanusi berkata selagi tidak menerima undangan rasmi maka dia kekal berpendapat kabinet telah menyekatnya daripada hadir Lima 2023.
"(Ini) sehingga terdapat keputusan membatalkan arahan itu daripada kabinet.
"Apabila saya menyuarakan mengenai halangan ataupun larangan yang dikenakan kepada menteri besar Kedah, maka kementerian-kementerian itu mengambil perhatian untuk mengabaikan.
"Tapi saya rasa satu keputusan kabinet hanya boleh diatasi dengan satu keputusan kabinet yang lain, mesti membatalkan keputusan sebelum itulah," katanya
Sanusi sebelum ini mendakwa dia dihalang daripada menghadiri majlis kerajaan persekutuan atas tuduhan membocorkan 'rahsia kerajaan'.
Dakwanya, perkara itu didedahkan kepadanya oleh seorang pegawai kanan kerajaan di Kedah yang menunjukkan salinan keputusan kabinet untuk menghalangnya daripada hadir ke majlis kerajaan persekutuan.
Sanusi mendakwa ia berpunca daripada ucapannya dalam khutbah di Sungai Besar, Selangor baru-baru ini, di mana Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah merangkap Pengarah Pilihan Raya PAS itu, mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyampaikan pembentangan untuk Kementerian Kewangan sendiri dan bukannya meminta Ketua Setiausaha Perbendaharaan melakukannya.
Pertemuan itu, katanya, adalah antara perdana menteri, menteri besar dan ketua menteri negeri, dan diadakan sempena mesyuarat Raja-raja Melayu pada hari yang sama.
Turut hadir ketika itu ialah barisan menteri kabinet persekutuan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai