Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Exco Perak gesa sekolah, asrama berhati-hati isu kualiti makanan

Pihak sekolah dan asrama tidak boleh mengambil mudah isu kebersihan dan keselamatan makanan, kata exco kerajaan negeri Perak A Sivanesan.

Ini selepas insiden keracunan makanan melibatkan 60 pelajar daripada Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Gerik pada 3 April yang lalu.

"Siasatan awal mendapati seramai 60 pelajar bergejala dipercayai makan ayam masak merah pada hari Ahad.

"Berdasarkan temu bual bersama pelajar, ayam mentah itu mungkin rosak sebelum dimasak kerana berbau. Ini menu yang sama yang kita kesan dalam satu lagi insiden yang sama di MRSM Taiping pada 2018.

"Saya meminta pihak sekolah dan asrama yang menyediakan makanan kepada pelajar perlu lebih berhati-hati dalam isu kualiti dan kebersihan makanan," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Sivanesan berkata pada 4 April, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Perak menerima notifikasi kejadian keracunan makanan pada 11.30 pagi 4 April.

"Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Perak telah membuat verifikasi dan siasatan awal dan mendapati seramai 60 orang pelajar bergejala.

"Kesemua pelajar dirawat oleh pasukan perubatan mobil sebagai pesakit luar. Tiada kes dirujuk ke hospital. Sebanyak 10 sampel klinikal telah diambil.

"Dapur asrama telah diarahkan untuk ditutup selama tiga hari di bawah Akta Makanan 1983 bagi tujuan pembersihan," katanya.

Dia bagi pihak kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan negeri, memohon maaf kepada ibu bapa di atas kesulitan yang berlaku.

"Saya juga akan berjumpa pengusaha makanan asrama dan pentadbiran sekolah minggu ini.

"Saya ingin tahu bagaimana mereka menyediakan dan menyimpan makanan di sana," katanya.