Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Bekas suami Loh didenda RM20,000 kerana hina mahkamah

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda RM20,000 ke atas bekas suami kepada ibu tunggal Loh Siew Hong kerana menghina mahkamah.

Hakim Evrol Mariette Peters pagi ini memerintahkan Muhammad Nagahswaran Muniandy yang merupakan mualaf membayar denda dalam tempoh 14 hari, jika tidak, dia akan dipenjarakan selama 14 hari.

Pada 20 Sept tahun lepas, mahkamah membenarkan permohonan ex-parte untuk Loh memulakan prosiding komital terhadap Muhammad, yang telah dituduh menculik tiga anak mereka dan mendaftarkan mereka sebagai mualaf tanpa persetujuannya.

Semasa membacakan penghakimannya, Peters memutuskan bahawa Nagahswaran telah campur tangan dalam pentadbiran keadilan.

Hakim keluarga mahkamah sivil itu berkata bahawa kelakuannya menunjukkan bahawa dia cuba mengelak daripada disampaikan salinan dokumen mahkamah.

Hakim berkata bahawa Nagahswaran tidak boleh menggunakan kelakuannya sendiri cuba mengelak kerana asas di sebalik aduannya bahawa dia tidak diserahkan dokumen mahkamah.

“Daripada penelitian dokumen dan sejarah kes, responden (Nagahswaran) amat mengetahui apa yang telah dilakukannya.

“Dia gagal mematuhi perintah mahkamah di mana pempetisyen (Loh) diberikan penjagaan tunggal terhadap kanak-kanak itu.

“Responden hilang untuk mengelak daripada dikesan kerana dia ingin mengelak daripada perintah mahkamah. Dia melibatkan ahli keluarga untuk menghalang anak-anak daripada dikembalikan kepada pempetisyen,” kata Peter.

Bekas pasangan itu duduk berjauhan antara satu sama lain di galeri awam semasa prosiding mahkamah terbuka.

Hakim menegaskan bahawa hukuman terhadap ketidakpatuhan responden kepada perintah mahkamah bukan hanya untuk menegakkan maruah mahkamah tetapi juga menjadi tugas mahkamah untuk memastikan pentadbiran keadilan "tidak dihalang".

“Penghinaan bukan untuk melindungi hakim tetapi untuk melindungi hak orang ramai.

“Dalam menjatuhkan hukuman, mahkamah mesti menjatuhkan hukuman yang setimpal bagi menunjukkan keseriusan kes kerana campur tangan responden terhadap pentadbiran keadilan. Mesej (yang dihantar dari keputusan hari ini) mestilah jelas dan tidak berbelah bahagi," kata Peters, seterusnya mengarahkan Nagahswaran membayar kos RM6,000 kepada bekas isterinya yang berusia 35 tahun.

Nagahswaran didakwa melarikan kanak-kanak itu dan melakukan penukaran agama pada Julai 2020 tanpa kebenaran dan pengetahuan Loh.

Pada 21 Feb 2022, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (bidang kuasa jenayah) membenarkan permohonan habeas corpusnya untuk disatukan semula dengan tiga anaknya, dengan kembar perempuan berusia 15 tahun manakala anak lelakinya berusia 11 tahun.

Loh juga mempunyai permohonan undang-undang berasingan untuk membatalkan penukaran agama kanak-kanak itu, yang ditetapkan untuk keputusan di hadapan Mahkamah Tinggi (bidang kuasa sivil) di Kuala Lumpur pada 11 Mei.

Nagahswaran sebelum ini ditahan berhubung kes dadah. Bagaimanapun, dia telah dibebaskan.