Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pemuda Umno mahu anjur program pendidikan politik di sekolah, IPT

Pemuda Umno bercadang mengadakan program untuk meningkatkan pengetahuan berkaitan politik dalam kalangan pelajar sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT).

Ketuanya Dr Muhamad Akmal Saleh berkata program pengkaderan seperti itu penting menjelang mereka mencecah usia layak mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

"Memang ada cadangan buat program di universiti. Bukan setakat di universiti tetapi kita akan fokus juga di sekolah.

"Kita sedia maklum apabila Undi18, kalau menjelang PRU16...hari ini adik-adik kita yang di Tingkatan Dua nanti apabila PRU16 sudah boleh jadi pengundi," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Exco Pemuda Umno yang pertama selepas dipilih mengetuai sayap tersebut dalam pemilihan yang lalu.

Muhammad Ikmal

Turut hadir dalam mesyuarat tersebut adalah bekas ketua Pemuda yang kini setiausaha agung Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Diminta mengulas lanjut, Akmal berkata Pemuda Umno akan menggunakan saluran yang betul sebelum masuk ke sekolah dan IPT untuk mengadakan program tersebut.

"Kita nak masuk ke universiti, nak masuk ke sekolah mestilah melalui prosedur yang betul.

"Sebagai seorang pemimpin, kita nak masuk universiti, nak masuk sekolah...kita tak boleh langgar undang-undang sekolah serta universiti," katanya.

'Dilarang pamer lambang parti'

Untuk rekod, Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum ini berkata tiada halangan untuk mana-mana pihak termasuk ahli politik, sama ada daripada kerajaan ataupun pembangkang, untuk mengadakan program atau diundang menyertai program yang diadakan di kawasan sekolah.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek bagaimanapun menegaskan mereka perlu melakukan permohonan dan mematuhi tatacara Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bilangan 4 Tahun 2023 yang menyentuh garis panduan berhubung perkara itu.

Antara syarat yang digariskan adalah program yang diadakan selaras dengan peraturan pendidikan dan undang-undang serta tidak menggangu pengajaran dan pembelajaran murid.

Program itu juga tidak boleh melibatkan sebarang elemen politik, perkauman dan ekstremisme, mempamer dan menggunakan lambang mana-mana parti serta melibatkan unsur kempen politik.

Permohonan untuk program tersebut juga perlu dibuat 30 hari sebelum ia berlangsung serta tidak boleh diadakan semasa sesi persekolahan.