Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

'30 tapak sampah haram ditemui di N Sembilan sejak Januari'

Sebanyak 30 kawasan titik panas (hot spot) pembuangan sampah haram dikesan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan bagi tempoh tiga bulan sejak Januari lalu.

Pengarahnya Siti Yusnita Mohamad Yusof berkata kawasan di Majlis Bandaraya Seremban merupakan lokasi tertinggi hotspot sampah haram dengan kebanyakan sampah berkenaan dilonggokkan di tempat sunyi dan bangunan terbiar oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Biasanya aktiviti itu tertumpu di kawasan perindustrian, tanah persendirian dan laluan taman perumahan yang sunyi dan terbiar dengan jenis sisa yang sering dibuang termasuk sisa komersial seperti plastik, kotak dan perabot lama selain sisa binaan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Justeru, dia berkata tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang terlibat dengan kegiatan berkenaan mengikut Seksyen 71 Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672).

Menurutnya, sehingga hari ini, sebanyak 13 kes bagi kesalahan pembuangan sampah haram telah dihadapkan ke mahkamah dan disabitkan kesalahan dengan denda sebanyak RM10,000 hingga RM25,000.

Siti Yusnita berkata SWCorp sentiasa membuat pemantauan di lokasi titik panas dan mengambil tindakan segera termasuk membuat siasatan, membersihkan kawasan tersebut, memasang pita dan sepanduk larangan membuang sampah secara haram.

Dia turut menasihatkan orang ramai terutama penduduk setempat untuk menyalurkan maklumat mengenai perkara itu kepada SWCorp bagi mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku sekali gus menjaga imej negeri ini.

Dalam perkembangan lain, dia berkata jumlah sisa isi rumah yang dikutip syarikat konsesi dan dilupuskan di tapak pelupusan sejak awal Ramadan sehingga 30 Mac lepas adalah 5,437 tan di negeri tersebut.

-Bernama