Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

'Nyah jenayah cubaan bunuh diri langkah positif untuk reformasi kesihatan'

Tiga wakil rakyat DAP menyuarakan sokongan terhadap langkah kerajaan untuk tidak lagi menjadikan percubaan bunuh diri sebagai jenayah, seperti yang diumumkan di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii, Adun Subang Jaya Michelle Ng dan Adun Kg Tunku Lim Yi Wei menyifatkannya sebagai langkah progresif dalam reformasi kesihatan mental di Malaysia.

"Reformasi asas seumpama ini telah dijuarai aktivis dan pakar kesihatan mental berdekad lamanya.

"Akhirnya, kita melihat kerajaan ada nekad politik yang sangat diperlukan untuk melaksanakannya - di tengah pandemik kesihatan mental yang dalam diam kian memburuk di Malaysia," kata mereka dalam kenyataan bersama hari ini.

Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said membentangkan rang undang-undang (RUU) untuk memansuhkan kesalahan percubaan bunuh diri untuk bacaan pertama.

Azalina juga mencadangkan moratorium ke atas Seksyen 309 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara setahun, denda atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan itu - sehingga semua pindaan untuk menyahjenayahkan cubaan bunuh diri diluluskan dan diwartakan.

Dia turut mengumumkan pengukuhan Akta Kesihatan Mental 2001 antara lain akan membawa kepada pewujudan jawatan pegawai intervensi krisis dengan kuasa untuk menangkap.

Cadangan jangka pendek dan panjang

Mereka turut mencadangkan beberapa langkah jangka pendek dan panjang terhadap rancangan kerajaan itu.

Untuk langkah jangka pendek, mereka mencadangkan agar peruntukan untuk perkhidmatan psikiatri di hospital ditingkatkan kepada 2.4 peratus daripada keseluruhan peruntukan untuk kesihatan dalam belanjawan akan datang.

"Pinda garis panduan klinikal yang relevan bagi memastikan psikoterapi diperkenalkan sebagai rawatan awal, bersama-sama dengan rawatan menerusi ubat.

"Bangunkan modul dan garis panduan yang jelas untuk melatih responder pertama dalam berdepan dengan mereka yang mengalami sakit mental," kata mereka.

Mereka juga mencadangkan tiga langkah jangka panjang - termasuk pewujudan mekanisme rentas kementerian dan rentas sektor untuk kesihatan mental.

Langkah kedua adalah meningkatkan profesional kesihatan mental per kapita bagi merapatkan jurang bandar dan luar bandar.

"Tambah baik juga data dan pemantauan gangguan kesihatan mental.

"Dengan berbuat demikian, kami berharap untuk melaksanakan reformasi yang berteraskan pesakit dan membawa kepada kesihatan yang lebih baik untuk semua," kata mereka.