Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Mahkamah Persekutuan tolak permohonan kembalikan saman terhadap Hadi

Mahkamah Persekutuan menolak permohonan oleh dua penganut Kristian dari Sabah untuk mengembalikan semula saman terhadap Abdul Hadi Awang berhubung kenyataan Presiden PAS itu yang didakwa berbaur hasutan terhadap penganut agama itu.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Besar Malaya Mohamad Zabidin Mohd Diah hari ini sebulat suara membenarkan bantahan awal yang dibangkitkan peguam Hadi Yusfarizal Yussof.

Panel berkenaan turut dianggotai hakim Mahkamah Persekutuan Mary Lim Thiam Suan dan Harmindar Singh Dhaliwal.

Peguam responden Yusfarizal Yussof mengemukakan bantahan berhubung permohonan kebenaran rayuan yang tidak disahkan dengan betul oleh deponen yang tinggal di Labuan.

Peguam tersebut mengatakan bahawa barisan peguam Hadi memberikan notis bantahan mereka terhadap kecacatan prosedur bagi afidavit pada 4 Oktober tahun lalu, dan selanjutnya melalui penyampaian notis bantahan rasmi pada 19 Mac tahun ini.

“Mengenai rakan guaman saya (peguam mewakili dua warga Sabah) tidak dapat menghubungi (deponen) adalah di luar pengetahuan saya.

"Tetapi masa yang mencukupi sejak tahun lepas telah diberikan kepada rakan saya untuk memperbetulkan (isu prosedur)," kata Yusfarizal memberi hujah bagi pihak Hadi berkenaan bantahan awal terhadap permohonan rayuan.

Peguam kedua-dua warga Sabah itu, R Kengadharan memberitahu mahkamah bahawa dia menghadapi kesukaran untuk menghubungi deponen.

Peguam itu menjelaskan bahawa afidavit itu hanya ditandatangani dan dikembalikan kepada mereka tanpa disahkan dengan betul.

“Kami cuba menghubunginya tetapi menghadapi kesukaran yang besar. Gopal Sri Ram adalah peguam utama kami dan dia berhubung dengan pemohon, tetapi dia (Sri Ram) meninggal dunia (awal tahun ini),” kata Kengadharan.

Peguam itu kemudian memohon panel memberi masa kepada pasukan peguam untuk cuba menghubungi deponen afidavit dan membetulkan isu prosedur kerana dua anak guamnya dari Sabah hanyalah orang biasa.

Maklin Masiau dan Lawrence Jomiji Kinsil @ Maximilhian memohon kebenaran untuk memulakan rayuan bagi mengembalikan saman sivil mereka.

Pada 2021 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Hadi untuk membatalkan saman pemula itu dan Mahkamah Rayuan kemudiannya mengekalkan keputusan tersebut.

Berkaitan bidang kuasa sivil rayuan ke mahkamah tertinggi, pihak rayuan perlu memohon kebenaran untuk meneruskan rayuan.

Jika mahkamah tertinggi meluluskan permohonan tersebut, ia kemudian akan menetapkan tarikh yang berasingan untuk mendengar merit rayuan.

Pada 7 Mei 2021, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur membenarkan permohonan Hadi untuk menolak saman sivil tersebut.

Defendan berusaha membatalkan saman tersebut atas alasan ia remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Pada 16 Ogos tahun lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan dua rakyat Sabah itu untuk mengembalikan saman tersebut. Kedua-dua mereka kemudian merayu ke Mahkamah Persekutuan.

Mereka memfailkan tindakan undang-undang itu pada 9 Disember 2020 berhubung kenyataan Hadi yang disiarkan dalam akhbar PAS, Harakah pada 18 Januari 2016.

Mereka mendakwa kenyataan itu dilaporkan oleh portal berita dalam talian Free Malaysia Today pada hari yang sama. Salinan laporan berita itu menjadi asas tuntutan mereka.

Mereka memohon suatu perisytiharan bahawa Hadi melakukan tindakan hasutan yang bertentangan dengan Seksyen 3 Akta Hasutan 1948.

Mereka juga memohon satu perisytiharan bahawa defendan tidak layak memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan Malaysia, termasuk jawatan yang setara dengan jawatan menteri.

Pada 2 April 2020, Hadi dilantik sebagai duta khas ke Timur Tengah dengan pangkat menteri.

Ini berlaku tidak lama selepas kerajaan Pakatan Harapan tumbang dan Perikatan Nasional yang dianggotai oleh PAS berjaya membentuk kerajaan.

Dalam kenyataan tuntutan mereka, kedua-dua plaintif mendakwa bahawa kenyataan Hadi juga menimbulkan fitnah terhadap masyarakat Kristian di negara ini.