Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kecualikan cecair nikotin dari Akta Racun langkah mundur - Kelvin Yii

Pengecualian cecair nikotin - termasuk yang digunakan untuk vape - daripada Akta Racun 1952 dilihat sebagai langkah mundur, kata Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii.

Kelvin menganggap langkah Kementerian Kesihatan sebagai tidak lengkap dan membuka kelemahan dalam undang-undang kerana tidak ada garis panduan yang betul untuk mengawal vape pada masa ini.

“Situasi yang ideal, sebelum mengeluarkan cecair nikotin dari akta racun, adalah memiliki akta yang disertakan untuk mengawal selia produk vape dan tembakau yang lebih terangkum berbanding Akta Makanan 1983 pada masa ini.

“Ia (industri vape) berkembang pesat dalam masyarakat kita, jadi penting untuk kita mengawal selianya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen semalam.

Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983 pada masa ini, hanya mengawal selia rokok konvensional dan produk tembakau lain.

Pada Jumaat lalu, cecair nikotin dikeluarkan daripada Akta Racun, bagi membolehkan duti eksais dikenakan ke atas vape berkuat kuasa pada hari berikutnya.

Portal berita kesihatan CodeBlue melaporkan pada Sabtu lalu bahawa Lembaga Racun sebulat suara menentang cadangan untuk mengecualikan cecair nikotin sebagai bahan terkawal dalam usaha kerajaan untuk mengenakan cukai e-rokok dan vape.

Lembaga itu yang bertindak sebagai badan bebas dan ditubuhkan di bawah Akta Racun - dilaporkan telah mengadakan mesyuarat pada 29 Mac iaitu hari yang sama pindaan duti eksais diwartakan.

Memetik sumber, CodeBlue melaporkan bahawa pegawai Kementerian Kesihatan menentang cadangan mengecualikan cecair nikotin daripada kawalan di bawah akta racun.

Bagaimanapun, Kementerian Kewangan didakwa meminta Kementerian Kesihatan mengecualikannya bagi memberi akses kepada pengguna dan pengeluar tempatan untuk mengeluarkan produk berkaitan secara sah.

Menteri Kesihatan Zaliha Mustafa didakwa menggunakan kuasanya sebagai menteri dengan mewartakan pengecualian itu walaupun terdapat bantahan Lembaga Racun dan kritikan orang ramai.

Berdasarkan kritikan, Zaliha memberi jaminan bahawa cecair vape dan produk berkaitan akan dikawal di bawah rang undang-undang kawalan tembakau - yang akan dibentangkan pada sesi parlimen akan datang.

Walaupun Yii mengalu-alukan pembentangan rang undang-undang itu, dia menegaskan penting bagi kerajaan untuk melibatkan diri secara aktif dengan penggubal undang-undang serta pihak berkepentingan yang berkaitan dari semua peringkat.